Di sebalik wajah redup lima murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Batu 20, Selangor, tersimpan semangat luar biasa untuk mempelajari Jawi huruf demi huruf.
Bagi menyokong usaha itu, tiga guru kajian tindakan dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Jeram iaitu Mohd Izzuwan Mahyudin, Mohammad Nurhaniff Najmi Mohd Zamri dan Nuraisyah Afiqah Subhi tampil memperkenalkan teknik KSB (Kenal, Susun, Bunyi) bagi huruf Jawi yang dirangka khusus untuk mereka.
Teknik KSB bukan sekadar kaedah mengenal huruf, tetapi satu pintu harapan yang membolehkan murid istimewa ini menyebut, membaca dan merasa bangga apabila mampu mengeja dalam tulisan Jawi.
Setiap kejayaan kecil mereka iaitu menyebut satu huruf dengan betul, mengenal bunyi dengan yakin, ibarat permata berharga dalam dunia pendidikan khas.
Salah seorang wakil guru SRA Pekan Jeram menegaskan bahawa setiap anak istimewa berhak merasai keindahan dan keunikan tulisan Jawi.
"Mereka mungkin berbeza cara belajar, tetapi jika diberikan peluang dan bimbingan yang sesuai, mereka mampu menimba ilmu dengan penuh semangat," katanya.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula berpendapat, langkah itu (teknik KSB) menepati matlamat untuk memberi fokus kepada murid berkeperluan khas.
Ia sekali gus memperlihatkan bahawa pendidikan Islam yang dibina bukan sekadar untuk murid arus perdana, tetapi merangkumi semua jiwa, tanpa terkecuali.
Usaha kecil yang bermula di SK Jeram Batu 20 ini membuka ruang baharu kepada JAIS untuk terus memperkasa Jawi sebagai bahasa ilmu, warisan budaya dan identiti umat Islam.
Setiap senyuman dan sorakan kecil murid apabila berjaya menyebut huruf Jawi dengan betul membuktikan bahawa ilmu mampu menyentuh hati sesiapa sahaja.
Itulah keindahan pendidikan inklusif iaitu kasih sayang dan ilmu berjalan seiring.