Pelajar Kolej Komuniti Taiping, Perak, Wan Putri Maisarah Wan Ruslan melakar sejarah apabila memenangi pingat emas dalam bidang Beauty Therapy pada Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCCSKILLS) 2025.
Kemenangan pelajar semester Tiga, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa itu bukan sahaja mengharumkan nama Kolej Komuniti Taiping, malah menjadi kebanggaan kerana ini adalah tahun kedua berturut-turut kolej berkenaan menjuarai kategori tersebut.
Wan Putri Maisarah yang jelas terharu dengan kejayaan diraih, memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pensyarah dan jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang tempoh latihan.
"Pengiktirafan ini adalah permulaan untuk saya menempa lebih banyak kejayaan dalam bidang terapi kecantikan dan spa pada masa hadapan.
"Saya berharap kejayaan dirangkul menjadi motivasi kepada rakan-rakan dan pelajar lain," kata Wan Putri Maisarah selepas berakhirnya pertandingan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.
Pengarah Kolej Komuniti Taiping, Aznur Anuar Ab Azid pula menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajarnya itu.
"Kejayaan Wan Putri Maisarah boleh dijadikan inspirasi kepada belia dan anak muda untuk menceburi bidang terapi kecantikan.
"Ia membuktikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan graduan berkualiti dan berkemahiran tinggi," ujarnya.
Sebagai makluman, pertandingan bagi bidang Beauty Therapy di POLYCCSKILLS 2025 berlangsung dari 8 hingga 10 September 2025 di Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah.
Para peserta perlu melengkapkan empat modul utama iaitu Express Facial, Body Treatment, Basic Manicure dan Make-up yang dinilai oleh panel juri profesional dan berpengalaman.
Pertandingan ini memberi nilai tambah kepada pelajar agar lebih bersedia menghadapi cabaran industri selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dalam memperkasa kemahiran teknikal dan insaniah.