Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menjadi tuan rumah kepada penubuhan Pusat Pendidikan Terbuka di kampusnya, hasil inisiatif bersama Kementerian Pendidikan Rusia melalui kerjasama strategik dengan Altai State Pedagogical University, Rusia.
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad berkata, penubuhan pusat berkenaan merupakan langkah penting hasil idea asal Altai State Pedagogical University yang berhasrat memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan UPSI.
Menurut beliau, konsep pendidikan terbuka berteraskan falsafah akses ilmu tanpa sempadan, iaitu menyediakan bahan pembelajaran dan sumber pengetahuan berkualiti tinggi yang boleh diakses secara percuma atau dengan kos yang minimum.
"Pendidikan terbuka menekankan keterangkuman, fleksibiliti dan penggunaan teknologi bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat.
"Ia bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran malah mengurangkan jurang akses pendidikan antara pelbagai lapisan masyarakat," katanya.
Penubuhan pusat ini, katanya, dijangka mengangkat kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan terulung negara serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4) yang menekankan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua.
Dalam masa sama, kolaborasi UPSI dengan rakan strategik dari Rusia ini dijangka membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi pendidikan, pembangunan bahan pembelajaran terbuka dan pelaksanaan penyelidikan bersama.
Sementara itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPSI dan Altai State Pedagogical University dijadual berlangsung 7 Oktober depan sekali gus menandakan permulaan rasmi kerjasama akademik kedua-dua institusi.
Dalam pada itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan kebudayaan, Mazura @ Mastura berkata, UPSI akan menganjurkan Festival Mosaic Russia pada 7 dan 8 Oktober 2025 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Menurutnya, festival ini bakal mempersembahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Rusia kepada warga UPSI dan masyarakat setempat sekali gus memperluas jaringan antarabangsa universiti.