Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diarah memberi kelonggaran dalam urusan pendaftaran kepada pelajar yang terlibat dengan bencana banjir di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihak universiti akan membantu dan memberi ruang secukupnya kepada mereka demi memastikan tidak ada pelajar yang tertinggal peluang melanjutkan pengajian.
"Kepada para pelajar, bakal mahasiswa dan ibu bapa yang sedang berdepan dengan dugaan banjir khususnya yang bakal mendaftar masuk ke universiti awam dalam masa terdekat, janganlah bimbang atau gusar.
"Saya menyeru kepada mereka yang terkesan agar menghubungi pihak universiti masing-masing untuk memaklumkan keadaan sebenar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zambry turut memaklumkan bahawa Majlis Kesukarelawanan Siswa Universiti Malaysia dan pasukan kesukarelawanan IPTA akan digerakkan bagi membantu kerja-kerja pemulihan pasca banjir termasuk sokongan logistik serta bantuan komuniti.
Beliau turut merakamkan ucapan simpati kepada semua mangsa dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan, kesabaran serta ketabahan dalam mendepani ujian ketika ini.
"Terima kasih kepada semua pihak yang turun membantu dan memberi sumbangan. Jaga diri dan jaga keselamatan semua. Semoga keadaan kembali pulih segera," katanya. - Bernama