Peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bukanlah mudah.
Ia menuntut pengorbanan masa, kesungguhan dan disiplin diri yang tinggi. Namun begitu, anak-anak Malaysia membuktikan bahawa mereka mampu mengharungi cabaran ini dan muncul sebagai pelajar cemerlang di pentas antarabangsa.
Sinar Bestari sebelum ini pernah menyiarkan kejayaan dua pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang meraih kecemerlangan luar biasa dalam IGCSE hingga menerima Anugerah Top Of The World.
Mereka yang dimaksudkan ialah Ahmad Soleh Muhaimi Saifuddin, pelajar MRSM Kuantan, Pahang yang meraih markah penuh dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik IGCSE.
Seorang lagi ialah Muhammad Amiruz Zafeer Azlan Shah, pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor yang turut memperoleh markah penuh dalam subjek Bahasa Inggeris IGCSE.
Kejayaan ini menunjukkan pelajar MRSM rajin dan bersungguh-sungguh belajar hingga mereka dapat hasil yang cemerlang di peringkat dunia.
Terbaharu, nama Engku Aleesya Engku Emran pula menyerlah sebagai contoh pelajar genius apabila memperoleh 7A dalam semua subjek IGCSE yang didudukinya iaitu First English Language, Matematik, Fizik, Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia dan Psikologi.
Anak kepada pasangan selebriti Engku Emran dan Erra Fazira ini yang baharu sahaja menamatkan pengajian sekolah menengah disifatkan sebagai seorang pelajar bijak dan berdisiplin sekali gus menjadi kebanggaan kedua-dua ibu bapanya.
Tahniah dari kami di Sinar Bestari kepada tiga pelajar yang berjaya dalam peperiksaan IGCSE.
Semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sebaya untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kehidupan.
Sebagai info, IGCSE adalah program akademik yang setara dengan O-Level dan menjadi salah satu syarat penting untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti A-Level, IB Diploma atau terus ke universiti luar negara.