
2 pelajar MRSM raih Anugerah Top Of The World! 'Satu pencapaian luar biasa anak Malaysia'
Dua pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) meraih kecemerlangan luar biasa dalam bidang akademik apabila masing-masing memperoleh Anugerah Top Of The World dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
Pelajr MRSM Kuantan, Pahang, Ahmad Soleh Muhaimi Saifuddin telah meraih markah penuh dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik IGCSE.
Manakala pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor, Muhammad Amiruz Zafeer Azlan Shah turut mendapat markah penuh dalam subjek Bahasa Inggeris IGCSE.
Menurut perkongsian Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Instagram baru-baru ini, Ahmad Soleh Muhaimi merupakan pelajar yang sangat aktif dalam kepimpinan di maktab sebagai Exco Akademik dan Inovasi Badan Wakil Pelajar (BWP).
Bakatnya dimanfaatkan dengan mewakili MRSM Kuantan ke Young Leader Apprentice (YALE) dan beberapa pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Moto 'Sentiasa dahagakan penjelajahan' menjadi antara sumber kekuatan Ahmad Soleh Muhaimi untuk menggapai cita-cita menjadi Jurutera Bioperubatan dalam negara.
Sementara itu, Muhammad Amiruz Zafeer turut aktif dalam kokurikulum sehingga menjuarai kejohanan bola tampar 17 tahun.
Pelajar cemerlang ini juga banyak mewakili maktab dalam pelbagai acara peringkat kebangsaan seperti National Science Challenge.
Kejayaan luar biasa yang dicapai oleh kedua-dua pelajar MRSM ini sememangnya membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
Ia menjadi bukti bahawa pelajar tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mencapai kecemerlangan setaraf dengan pelajar terbaik dunia.