Lorong harapan Muhamad Amin

Iklan

Kisah atlet paralimpik boling inspirasi kepada pelajar istimewa

Hidup tidak pernah lari daripada cabaran menyebabkan atlet tenpin boling paralimpik menganggap kecederaan atau cacat kekal sebagai lumrah dalam perjuangan.

Bagaimanapun, semangat mereka untuk terus bangkit boleh menjadi inspirasi buat semua pelajar yang mempunyai nasib sama.

Iklan
Iklan

Muhamad Amin

Begitulah juga kisah seorang atlet tenpin boling paralimpik, Muhamad Amin Abd Rashid, 37, yang pernah melalui detik hitam selepas terbabit dalam kemalangan sehingga mengakibatkan kecacatan kekal.

Iklan

Di sebalik rasa hilang arah dan perit menerima hakikat, dia memilih untuk keluar dari zon selesa dan kembali ke lorong kejayaan dengan semangat baharu.

“Bagi saya, setiap orang perlu keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk sesuatu yang berlainan. Ini kerana untuk kita pelajari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Iklan

“Sebagai pemain paralimpik, saya tidak boleh berseorangan kerana takut kemurungan atau sebagainya.

“Nasihat saya kepada adik-adik, ibu bapa atau para guru, jangan tinggalkan anak istimewa seorang diri terkapai-kapai mencari perkara yang mereka minat. Kita perlu beri semangat kepada mereka dalam apa juga bidang diceburi,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Guru memberi bimbingan kepada pelajar OKU untuk menggolekkan bola boling

Bagi Muhamad Amin, setiap balingan kini bukan lagi sekadar permainan tetapi simbol kekuatan jiwa, keberanian menghadapi cabaran serta inspirasi buat insan lain agar tidak pernah menyerah walaupun diuji.

Atlet paralimpik itu turut berkongsi cerita dirinya mula berjinak dengan tenpin boling kerana terlibat dalam kemalangan pada awal tahun 2011 yang menyebabkan tangan terputus sehingga ke paras siku.

“Selepas setahun hilang tangan, saya mula melibatkan diri dengan boling. Tidak sangka pula boleh berada pada tahap ini,” katanya sambil tersenyum.