Inovasi Bloomind iaitu permainan papan inovatif yang dihasilkan sekumpulan pelajar Pusat Permata@Pintar Negara telah memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi pendidikan, International Future Scientist Conference (iFSC) 2024 baru-baru ini.
Menurut Pakar Psikologi Sukan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Dr Nurwina Akmal Anuar, Bloomind adalah salah satu sokongan kepada Malaysia dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi generasi muda Malaysia.
Katanya, dengan permainan papan inovatif Bloomind, masalah literasi emosi boleh diatasi dengan lebih berkesan.
"Menggabungkan pembelajaran berasaskan permainan dengan fokus pada kecerdasan emosi, Bloomind menawarkan pendekatan yang inovatif dan berkesan untuk menangani cabaran emosi pelajar hari ini sekali gus menyediakan mereka dengan kemahiran penting untuk masa depan," katanya sejurus berakhir pertandingan itu di Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM.
Nurwina berkata, Bloomind akan menjadi alat pendidikan penting bagi meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi dalam kalangan generasi muda Malaysia.
"Adalah penting untuk kita melabur dalam alat pembelajaran seperti Bloomind ini kerana ia boleh membantu pelajar menghadapi cabaran emosi dengan lebih baik seterusnya membentuk generasi berdaya tahan dan berkemahiran sosial tinggi," katanya.
Sambung Nurwina lagi, Bloomind bukan sekadar permainan biasa. Ia adalah alat pengajaran dan pembelajaran yang direka khas untuk membantu pelajar meningkatkan kecerdasan emosi mereka secara interaktif dan menyeronokkan.
"Permainan ini menggabungkan elemen-elemen Taksonomi Bloom dengan konsep kecerdasan emosi, menawarkan pendekatan yang menarik dan berkesan untuk meningkatkan kemahiran EQ pelajar," ujarnya.
Terdahulu, papan permainan permainan inovatif Bloomind ini adalah hasil ciptaan bersama Muhammad Hasan Zakariah, Che Saffiyah Anisah Mohd Suffian, Nur Qistina Balqis Mohd Feris Halmy dan Nur Alya Nadhirah Abdul Sani bersama guru pembimbing, Azlina Md Azhari.