Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan keunggulannya apabila muncul antara pasukan tumpuan di Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 dengan kutipan 10 pingat keseluruhan menerusi acara silat dan taekwondo.
Temasya yang berlangsung pada 15 hingga 21 September 2025 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu menjadi pentas kecemerlangan atlet UTeM apabila membawa pulang dua pingat emas, empat perak dan empat gangsa.
Menurut Pengarah Pusat Sukan UTeM, Siti Sarah Bujang, pencapaian tersebut adalah antara penyerlahan terbaik atlet UTeM di MASUM.
"Pingat emas diperoleh menerusi acara Silat Putra A oleh Muhammad Nasrul Daniel Naszari dan Taekwondo Kyorugi lelaki bawah 74 kilogram (kg) oleh Nashvin Ganesan.
"Tiga perak taekwondo hadir menerusi Kyorugi lelaki bawah 68 kg, Poomsae individu wanita serta Kyorugi wanita bawah 53 kg dan satu lagi dalam acara Silat Putra I.
"Manakala empat gangsa pula disumbangkan melalui Taekwondo Kyorugi lelaki bawah 54 kg, Kyorugi lelaki bawah 58 kg serta Silat Putri A dan Putri E," katanya.
Untuk edisi kali ini, UTeM menghantar seramai 40 atlet bersama enam jurulatih dan empat pegawai yang beraksi dalam enam acara iaitu petaque, catur, memanah, karate, taekwondo dan silat.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan sangat membanggakan kerana bukan sahaja berjaya membawa pulang dua emas tetapi buat kali pertama UTeM menjulang pingat tersebut dalam acara silat.
"Pencapaian ini menjadi pemangkin semangat kepada keseluruhan pasukan atlet UTeM untuk beraksi lebih cemerlang pada temasya MASUM akan datang," ujarnya.