Seramai 60 bekas pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lui Timor, Negeri Sembilan berhimpun dalam Majlis Alumni Kali Ke-45 yang berlangsung pada Sabtu.
Kehadiran mereka bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah membuka ruang perkongsian inspirasi dan perancangan masa depan sekolah.
Majlis yang bermula seawal jam 9 pagi itu dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Lui Timor, Ts Abdul Aziz How Abdullah yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Alumni.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Penaja Alumni, Jamsari Mohamad.
Bagi menyuntik nilai tambah kepada pertemuan tersebut, beberapa pengisian menarik disediakan.
Antara yang mencuri perhatian ialah sesi perkongsian ilmu bersama Ustaz Hussin Jalani bertajuk 'Segantang Inspirasi, Sejuta Aspirasi' yang memberi suntikan semangat kepada para hadirin.
Ini diikuti dengan slot kisah kejayaan ikon alumni SK Lui Timor iaitu Pengarah Urusan Biforst Sdn Bhd, Datuk Paduka Hamie Appala Nakkiah yang berkongsi perjalanan kerjaya dan inspirasi untuk warga sekolah.
Majlis turut diselangi sesi perbincangan mengenai hala tuju alumni apabila Jamsari memohon persetujuan hadirin sama ada mahu mengekalkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Penaja Alumni atau sebaliknya.
Hasilnya, hadirin sebulat suara bersetuju mengekalkan AJK sedia ada bagi sesi 2025–2027 sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan semasa.
Kemuncak majlis ialah pelancaran Tabung Dana Pendidikan SK Lui Timor yang diadakan bagi menyokong usaha pembangunan pendidikan dan kebajikan murid.
Acara diakhiri dengan penyampaian cenderahati, sesi bergambar kenangan dan jamuan mesra sebelum para hadirin bersurai dengan semangat baharu untuk terus menyokong alma mater mereka.
Maklumat penulis:
Pengerusi Penaja Alumni 2025-2027, Jamsari Mohamad