PM arah KPT bincang dengan KPM pastikan Bahasa Melayu, Sejarah diutamakan

Iklan
Anwar mempengerusikan mesyuarat berkaitan semakan semula MPU di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto: Pejabat Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diberikan keutamaan termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata, arahan itu adalah sebahagian daripada cadangan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pagi Selasa.

Iklan
Iklan

"Semakan ini penting untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme,” katanya dalam catatan terbaharu di platform media sosial.

Perdana Menteri berkata, cadangan semakan semula MPU dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Pertahanan melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.

Iklan

Anwar berkata, pelaksanaan MPU yang disemak semula itu juga akan diperluas bukan sahaja di universiti awam dan swasta tetapi turut meliputi semua institut latihan di negara ini.

Beliau berkata, usul itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara. - Bernama

Iklan