UMS tegas tolak budaya buli demi keselamatan & kesejahteraan pelajar

Iklan
Kasim (kiri) ketika Majlis Pembukaan MSM Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 yang berlangsung di Dewan Canselor.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli dalam kalangan warga kampus sama ada secara fizikal, mental, emosi mahupun di alam maya.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihak universiti sentiasa memandang serius isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian pelajar di kampus.

Iklan
Iklan

"Setiap mahasiswa perlu memahami bahawa kebebasan yang dinikmati di universiti datang bersama tanggungjawab untuk menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

"UMS tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli. Jika berlaku, laporkan segera kerana universiti ini adalah tempat selamat untuk pelajar belajar dan berkembang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pembukaan Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 di Dewan Canselor UMS pada Isnin.

Menurutnya, budaya buli tidak sepatutnya wujud dalam kalangan pelajar yang seharusnya menumpukan kepada pencapaian akademik, pembangunan diri, pembentukan sahsiah sebagai insan berilmu dan berakhlak mulia.

Iklan

Kasim

"Ingatlah, anda datang ke sini bukan untuk menjatuhkan rakan, tetapi sama-sama bangkit menuju kejayaan," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihak UMS sentiasa peka terhadap kebajikan dan kebimbangan utama pelajar termasuk isu kemudahan asas khususnya bekalan air di kolej kediaman.

"Sebarang isu berkaitan prasarana akan ditangani dengan segera bagi memastikan pelajar dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa terganggu oleh perkara asas," katanya. 

Kasim berkata, UMS ketika ini turut mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 94.7 peratus pada tahun 2024 dengan 93.9 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

"Pencapaian ini membuktikan UMS komited dalam melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing selain berupaya memberi sumbangan kepada masyarakat, industri dan negara," ujarnya.

Untuk info, seramai 5,123 pelajar baharu telah ditawarkan tempat di UMS, menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar universiti yang kini telah melahirkan lebih 91,000 graduan sejak penubuhannya pada 1994.