Hasrat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest untuk membawa pulang trofi pertama saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) tidak kesampaian apabila tunduk 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada penyandang juara, SMK Shah Alam, dalam aksi Sumbangsih merangkap perlawanan Kumpulan A di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Selangor pada Rabu.
Hillcrest yang menguasai sebahagian besar perlawanan dikejutkan jaringan pendahuluan penalti Muhammad Amal Mohd Dom pada minit ke-34, sebelum bangkit melalui gol penyamaan dramatik Qaid Darwisy Mohd Faizal pada masa kecederaan minit 62 untuk mengheret aksi ke penentuan penalti.
Namun, tuah lebih memihak kepada juara bertahan kendalian Osmera Omaro apabila menamatkan saingan 5-3 sekaligus menafikan hasrat pasukan dari Batu Caves membawa pulang trofi ke Gombak.
Pengurus pasukan, Muhamad Hasrulnizam Mohamad biarpun begitu tetap berpuas hati dengan karakter dipamerkan anak buahnya untuk satu mata meskipun gagal meraih kemenangan.
"Kita sebenarnya menguasai permainan di kedua-dua separuh masa, tetapi kurang klinikal di depan gol menyebabkan lawan berjaya bangkit.
"Apa yang positif, pemain tidak hilang fokus, sebaliknya menunjukkan karakter kuat untuk kembali menyamakan kedudukan hingga ke penentuan penalti.
"Yang perlu kita perbaiki hanyalah ketajaman penyudah agar penguasaan bola diterjemahkan kepada kemenangan," katanya kepada Sukan Sinar selepas perlawanan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Hillcrest kini menumpukan perhatian kepada usaha bangkit lebih konsisten dalam baki saingan Kumpulan A.
"Perlawanan menentang juara bertahan memberikan banyak pengajaran berharga. Fokus kami selepas ini ialah meningkatkan ketajaman di hadapan gol, mengekalkan intensiti sepanjang 60 minit, serta memperbaiki transisi bertahan dan pengurusan tempo.
"Latihan lebih spesifik akan diberi kepada aspek penyudah, di samping menekankan pemulihan fizikal serta kekuatan mental pemain.
"Dengan disiplin dan semangat yang ditunjukkan, saya yakin Hillcrest mampu bangkit lebih konsisten dalam baki perlawanan," ujarnya.
Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.
Hadir menyaksikan perlawanan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahir Raja Salim; Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Hashim Anang; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Norfadzilah Rosdi; Pengurus Besar Korporat Setiausaha Syarikat PNSB, Mohamad Nizam Yaacob.
Hillcrest dijadual melayan kunjungan SMK Seksyen 10 Kota Damansara dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada Jumaat ini perlawanan penting buat skuad muda itu untuk kembali menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.