USM latih pelajar sekolah di Jakarta kuasai komunikasi SDGs

Iklan
Para peserta projek komuniti rentas negara bukan sahaja menyumbang tenaga membantu masyarakat luar negara, tetapi turut menimba pengalaman berharga tentang kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial global.

Sebuah projek komuniti rentas negara berfokuskan pengetahuan, kompetensi dan komunikasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) berjaya dilaksanakan di tiga sekolah di Jakarta oleh pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM).

Iklan
Iklan

Program yang berlangsung dari 21 hingga 27 September 2025 itu diketuai Pensyarah Komunikasi Kelestarian, Profesor Madya Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh bersama 10 pelajar prasiswazah PPK dengan kerjasama Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta.

Menurut Mohamad Saifudin, usaha bersepadu ini memberi pendedahan bermakna kepada pelajar sekolah mengenai SDGs selain melatih mereka menjadi pemimpin pendapat dalam mengkomunikasikan isu kelestarian melalui media sosial.

Iklan

"Projek ini dibangunkan berasaskan modul komunikasi kelestarian yang merangkumi ceramah, sesi interaktif dan permainan berkaitan SDGs bagi menarik minat peserta dengan pendekatan didik hibur,"  katanya.

Beliau turut menghargai sokongan Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) serta PPK USM melalui Dana Explore: Mobility Matching Fund (MOMAF) 2025 selain sumbangan rakan strategik, UMB dan Perodua Nasrom (M) Sdn Bhd.

Iklan

Sementara itu, Wakil Rektor 2 Bidang Sumberdaya UMB, Profesor Dr Rizki Briandana menyifatkan kolaborasi ini sebagai usaha positif memperkukuh agenda pendidikan SDGs di sekolah-sekolah Jakarta.

"Hubungan baik antara UMB dan USM sudah lama terjalin, dan inisiatif sebegini penting untuk melahirkan generasi kritis, berdaya saing serta peka terhadap cabaran global,” ujarnya.

Bagi fasilitator projek, Arhafiz Abd Rahman, pelajar Tahun Dua PPK USM, penyertaan ini memberi pengalaman pembelajaran baharu di luar Malaysia selain memperkukuh ilmu yang dipelajari dalam kursus Komunikasi untuk Kelestarian.

"Peluang ini amat berharga kerana saya dapat mengenali budaya unik Indonesia, berinteraksi dengan komuniti setempat serta memahami cara mereka bergerak ke arah kelestarian," katanya yang berharap projek sebegini dapat diteruskan bagi menyokong agenda SDGs 2030.