MoU pendidikan tinggi Malaysia-Pakistan platform strategik promosi pendidikan Malaysia - Zambry

Iklan
Anwar (kanan) dan Shehbaz (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Zambry (dua dari kanan) dan wakil kerajaan Pakistan di Kuala Lumpur.

Memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi yang dimeterai antara Malaysia dan Pakistan pada Isnin akan menjadi platform strategik bagi mempromosikan jenama pendidikan Malaysia di peringkat global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama yang digariskan dalam MoU itu merangkumi pelbagai aspek termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi maklumat, transformasi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Iklan
Iklan

"Melalui pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar dan pelancongan pendidikan, penyertaan pelajar Pakistan dalam program sedemikian membolehkan mereka mendapat pendedahan langsung terhadap sistem pendidikan Malaysia, memperoleh pengalaman pelbagai budaya yang mendalam, sekali gus membina kefahaman, toleransi dan empati rentas budaya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.

Iklan

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dalam hantaran di Facebook berkata, MoU dalam bidang pensijilan halal yang dimeterai menandakan kejayaan besar dalam memperkukuh ekosistem halal kedua-dua negara.

"Insya-ALLAH, kerjasama ini akan melonjakkan lagi ekosistem halal kedua-dua negara dan memperluaskan pasaran produk halal di peringkat antarabangsa," katanya.

Iklan

Mohd Na'im berkata, MoU itu memfokuskan kepada pengiktirafan bersama sijil halal antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pakistan Halal Authority (PHA) sekali gus mengukuhkan integriti Halal Malaysia di peringkat global.

Shehbaz dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia pada Ahad untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Anwar. - Bernama