Dr Yusliza dari UMT buktikan kehebatan wanita Malaysia di pentas penyelidikan dunia

Iklan
Dr Yusliza

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mengukir sejarah apabila pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Profesor Dr Yusliza Mohd Yusoff tersenarai buat kali keempat sebagai penyelidik yang berada dalam kelompok antara dua peratus saintis terbaik dunia berdasarkan penilaian Universiti Stanford dan penerbit akademik terkemuka Elsevier, Amerika Syarikat.

Iklan
Iklan

Pengiktirafan berprestij itu meletakkan beliau di kedudukan ke-760 dunia dalam bidang pengurusan dan perniagaan serta ke-28 saintis berpengaruh di peringkat global, hasil analisis data Scopus yang merangkumi lebih sembilan juta penyelidik aktif.

Mengulas kejayaan itu, Dr Yusliza menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah untuk terus memperkukuh sumbangannya dalam bidang akademik.

Iklan

"Saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dan wanita dalam sains di pentas antarabangsa.

"Sebagai anak Kelantan dan saintis dari UMT, saya berharap pencapaian ini dapat menyuntik semangat kepada generasi muda khususnya wanita, untuk terus maju dalam bidang penyelidikan dan inovasi," katanya.

Iklan

Beliau turut menekankan falsafah yang menjadi pegangan sepanjang kerjayanya.

"Kepimpinan dalam dunia akademik bukan diukur melalui jawatan, tetapi melalui kehidupan yang kita bentuk, minda yang kita ilhamkan dan masa depan yang kita bina bersama," katanya.

Penyelidikan Dr Yusliza dalam bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan hijau, tingkah laku pekerja hijau dan kelestarian organisasi memberi impak besar kepada dasar dan amalan perniagaan negara.

Kajian beliau menjadi panduan kepada sektor industri dan organisasi dalam membentuk budaya kerja yang lebih lestari, sejajar dengan hasrat Malaysia menuju ekonomi hijau.

Sumbangannya juga secara langsung mendukung agenda nasional termasuk Malaysia Madani yang menekankan kelestarian dan kesejahteraan serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).

Dengan kejayaan ini, UMT sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai pusat rujukan ilmu yang mampu melahirkan penyelidik bertaraf dunia.

Ia juga mengangkat citra Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dalam penyelidikan global khususnya dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

Pencapaian DrYusliza bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi menjadi bukti bahawa penyelidik tempatan berperanan penting dalam memacu pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.