Bagi memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan di Terengganu, Projek Pembangunan Polikultur Akuaponik Marin untuk Penjanaan Pendapatan dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Inisiatif berasaskan teknologi dan ilmu kelautan ini bukan sahaja membuka peluang penjanaan ekonomi baharu, malah menjadi bukti bahawa ilmu yang dikongsi mampu memperkasa kehidupan golongan istimewa agar lebih berdikari dan sejahtera.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Muhammad Ikhwanuddin Abdullah berkata, projek ini menggambarkan pendekatan inklusif universiti dalam memperkasa komuniti melalui ilmu dan inovasi.
Ia sejajar dengan nilai Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan pembangunan insan dan masyarakat.
“UMT percaya bahawa penyelidikan tidak seharusnya kekal di menara gading. Ia mesti diterjemahkan menjadi manfaat sebenar kepada masyarakat, terutamanya komuniti yang memerlukan seperti OKU penglihatan,” katanya.
Kata Dr Muhammad Ikhwanuddin lagi, kejayaan projek ini menunjukkan penyelidikan Institut Akuakultur Tropika & Perikanan (AKUATROP) UMT bukan sekadar bersifat akademik, tetapi mampu diadaptasi kepada komuniti melalui konsep pemindahan ilmu yang memberi impak sosial secara langsung.
Dalam pada itu, projek ini diketuai oleh AKUATROP, TS Dr Wan Adibah Wan Mahari dengan penyertaan seramai 30 ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Cawangan Terengganu di Teluk Ketapang, Seberang Takir.
Ia dilaksanakan melalui kerjasama erat antara UMT, SBM Terengganu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan SS Energy Aquaculture selaku rakan strategik industri.
Menariknya, projek berkenaan memperkenalkan sistem akuaponik marin berasaskan polikultur iaitu menggabungkan penternakan udang dengan penanaman rumpai laut Latok.
Ia diletakkan dalam satu sistem ekologi tertutup yang saling bergantung.
Selain itu, Wan Adibah memaklumkan bahawa sistem baharu ini membolehkan dua hasil utama dijana serentak iaitu udang sebagai produk umpan hidup manakala rumpai laut sebagai makanan eksotik berniali tinggi.
“Konsep polikultur ini membolehkan air dikitar semula secara semula jadi. Udang dan rumpai laut hidup dalam sistem yang saling menyokong, menjadikannya lebih lestari dan mesra alam,” katanya.
UMT merancang untuk menerbitkan manual operasi dalam tulisan Braille agar projek ini boleh dijadikan panduan nasional bagi komuniti OKU lain di seluruh negara.