Usaha dua Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Selangor dalam membantu pelajar memahami serta meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akhirnya membuahkan hasil apabila inovasi mereka, MyTarget STEM, diiktiraf sebagai Amalan Terbaik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Negeri Selangor.
Menurut Cikgu Abdul Muiez Mohammad Ruslee, pengiktirafan itu menjadi satu kejutan manis dan bukti bahawa usaha kecil yang berasaskan keperluan sebenar pelajar mampu memberikan impak besar kepada komuniti sekolah.
"Kami tak sangka inovasi MyTarget STEM terpilih sebagai Amalan Terbaik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling peringkat negeri.
"Mungkin ini rezeki anak-anak didik dan seluruh warga sekolah. Terima kasih kepada juri kerana mempercayai potensi MyTarget STEM," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
MyTarget Graf Prestasi Diri
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Cikgu Abdul Muiez yang bergandingan bersama Cikgu Nurulhuda Ramli berkata, MyTarget STEM direka khas bagi meningkatkan kefahaman dan minat pelajar terhadap aliran STEM di peringkat menengah atas, seterusnya membantu mereka membuat pilihan kerjaya yang tepat selepas tamat persekolahan.
"MyTarget STEM ini mempunyai lima komponen utama.
"Komponen pertama ialah MyTarget Graf Prestasi Diri (MyTarget GPD), yang menggunakan graf head count sebagai alat penilaian untuk mengesan tahap peningkatan akademik murid.
"Kami gunakan graf supaya pelajar dapat melihat sendiri prestasi mereka dalam setiap peperiksaan sama ada meningkat atau menurun.
"Bila mereka nampak perubahan itu secara visual, semangat untuk memperbaiki keputusan akan lebih tinggi,” jelasnya.
Dalam pelaksanaannya, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) Tingkatan Empat dijadikan sebagai penanda aras (TOV).
Keputusan seterusnya seperti Ujian Prestasi 1 dan Peperiksaan Pertengahan Tahun digunakan untuk menilai kemajuan pelajar secara berterusan.
Inventori Minat Kerjaya dan kad SEEKERS
Selepas menilai prestasi akademik, pelajar akan menjalani Inventori Minat Kerjaya (IMK) bagi mengenal pasti kecenderungan masing-masing sama ada dalam bidang STEM atau sebaliknya.
"Kalau pelajar tidak cenderung ke arah STEM, kami bantu mereka cari laluan yang sesuai.
"Tetapi jika minat dan keputusan akademik mereka selari, kami akan tempatkan di enam kelas aliran STEM yang ada di sekolah," ujarnya.
Untuk memperkukuh minat dan pengetahuan pelajar, mereka turut memperkenalkan inovasi kad Semak Kerjaya STEM (SEEKERS) yang berfungsi sebagai panduan cepat mengenai jenis-jenis kerjaya, kelayakan akademik dan peluang pengajian dalam bidang STEM.
Direktori STEM & Chat Box ChatGPT: Rujukan pintar generasi baharu
Cikgu Abdul Muiez turut berkongsi satu lagi keunikan projek ini iaitu Direktori STEM yang dibangunkan menggunakan Chat Box ChatGPT sebagai sumber maklumat interaktif dan mudah diakses oleh pelajar.
"Pelajar boleh tanya apa sahaja berkaitan kursus STEM di universiti awam, syarat kelayakan, merit dan maklumat lain.
"Kami dah setkan semuanya dalam ChatGPT supaya maklumat yang diterima lebih tepat dan cepat berbanding carian biasa di Google," katanya.
Peta Kerjaya STEM
Langkah terakhir dalam MyTarget STEM ialah Peta Kerjaya STEM, di mana setiap pelajar melakar hala tuju masa depan mereka berdasarkan minat, keputusan akademik dan maklumat yang diperoleh melalui Direktori STEM.
"Di akhir proses ini, pelajar akan memiliki satu peta kerjaya lengkap yang menunjukkan perjalanan akademik dan kerjaya mereka iaitu satu bentuk bimbingan visual yang sangat berkesan," jelasnya.
Akhir sekali, Cikgu Abdul Muiez dan rakan sejawatnya berharap kejayaan MyTarget STEM ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai GBK di seluruh negara untuk melaksanakan pendekatan yang sama.
"Kami harap pengiktirafan di peringkat negeri ini akan membuka jalan ke peringkat lebih tinggi.
"Bukan untuk nama, tetapi agar inisiatif ini terus mendapat sokongan pakar dan manfaatnya sampai kepada lebih ramai pelajar," katanya.
Kepada rakan-rakan GBK yang berminat untuk dapatkan bahan-bahan ini, guru-guru boleh muat turun secara percuma melalui pautan ini https://bit.ly/bahansmksungaibesar.