Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ngo Zhen Hong dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembentangan Lisan Terbaik dalam Program Australia-Malaysia Virtual PhD Internship 2025.
Diselia oleh Profesor Madya Dr Syuhaily Osman dan Profesor Madya Dr Evita March, kejayaan Zhen Hong bukan sahaja mengharumkan nama UPM, malah menyerlahkan kemampuan pelajar Malaysia bersaing di arena penyelidikan antarabangsa.
Program berprestij anjuran bersama Federation University, Australia itu melibatkan pemilihan pelajar pascasiswazah daripada universiti awam seluruh negara untuk menyertai penyelidikan selama 12 minggu secara maya bersama penyelia dari Australia.
Sepanjang tempoh tersebut, Zhen Hong berjaya menampilkan prestasi cemerlang hasil penyelidikan yang dijalankan di bawah bimbingan kedua-dua penyelianya.
"Saya berpeluang meneroka budaya akademik berbeza, mempelajari metodologi penyelidikan baharu dan menggunakan pelbagai alat kajian yang memperkayakan kemahiran penyelidikan saya.
"Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh kompetensi akademik, malah membuka ruang untuk menjalin hubungan profesional dengan penyelidik antarabangsa," katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap pendidikan di UPM yang disifatkan sebagai bertaraf dunia dan menjadi asas kukuh dalam kejayaan tersebut.
"Pendidikan di UPM setanding dengan piawaian antarabangsa. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk turut serta secara aktif dalam perbincangan bersama penyelia dari Australia," ujarnya.
Program Australia-Malaysia Virtual PhD Internship 2025 yang berlangsung 12 September lalu di Bangunan Suruhanjaya Tinggi Australia, Kuala Lumpur, menjadi sebahagian daripada sambutan 70 tahun hubungan diplomatik Australia–Malaysia, simbol jalinan kerjasama akademik erat antara kedua-dua negara.