Fan Shankar inspirasi kampus negara

Iklan
Fan Shankar memberikan ucapan sempena pengumuman sebagai Tokoh Siswa Negara 2025.

Jadikan anugerah sebagai pemangkin tanggungjawab

Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi lambang kepercayaan terhadap keupayaan mahasiswa sebagai pemimpin masa depan negara.

Anugerah tertinggi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini diwujudkan bagi menghargai kecemerlangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi turut merangkumi kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, kelestarian, seni dan kebudayaan.

Iklan
Iklan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut meluangkan masa beramah mesra dan berbual bersama para pemenang.

Bagi Ng Zhen Fan Shankar, 26, kejayaan bergelar Tokoh Siswa Negara 2025 bukan semata-mata tanda kemenangan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab dan keinsafan.

Iklan

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini mengakui segala penat lelah, air mata dan pengorbanan akhirnya terbalas dengan pengiktirafan yang paling bermakna dalam hidupnya sebagai pemimpin mahasiswa.

"Selepas menerima anugerah ini, saya tidak melihatnya sebagai penghujung perjalanan, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Iklan

"Kejayaan berkenaan bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin untuk saya terus memberi sumbangan kepada universiti, masyarakat dan negara.

"Saya percaya kepimpinan yang berteraskan nilai, disiplin dan keikhlasan akan sentiasa menemukan jalannya menuju kecemerlangan," katanya penuh makna kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Hampir 300 program

Menjadi mahasiswa cemerlang bukan sekadar hadir ke kuliah dan mengejar gred semata-mata.

Fan Shankar aktif dalam semua program yang dilaksanakan di UPSI.

Fan Shankar mengakui terlibat aktif dalam program universiti membuktikan bahawa komitmen luar biasanya dalam membina sahsiah, kepimpinan dan jaringan ilmu.

Keaktifannya menjadi cerminan bahawa kehidupan di universiti adalah medan sebenar untuk membentuk jati diri dan daya kepimpinan yang seimbang antara ilmu, akhlak dan tanggungjawab sosial.

"Sepanjang berada di UPSI, saya berkesempatan untuk terlibat dalam hampir 300 program sama ada sebagai ahli jawatankuasa biasa, pelaksana, ketua unit mahupun sebagai pengarah program.

"Setiap peranan yang saya galas memberikan pengalaman berbeza dan sangat bermakna dalam membentuk kemahiran kepimpinan serta daya tahan saya dalam bekerja di bawah tekanan," katanya.

Fan Shankar inspirasi kampus negara.

Kongsi Fan Shankar, penglibatan aktif dalam organisasi pelajar bukan sekadar aktiviti sampingan, namun ia sebagai proses pembelajaran yang tidak ternilai.

Secara tidak langsung, ia mengasah keupayaan pelajar untuk menjadi seorang pemimpin efektif, fleksibel dan bertanggungjawab.

"Pengalaman ini jugalah yang memberi keyakinan dan dorongan untuk saya terus menyumbang kepada universiti serta masyarakat luar, walaupun selepas tamat pengajian nanti," katanya yang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana.