Kepimpinan sejati sepatutnya tidak diukur melalui jantina, namun melalui nilai integriti, kebijaksanaan dan keupayaan memimpin dengan tanggungjawab.
Baik lelaki mahupun wanita, setiap mahasiswa berpeluang menyerlah sebagai pemimpin unggul apabila nilai amanah, empati dan komitmen dijadikan teras perjuangan.
Mariam Masuan, 24, yang dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa baru-baru ini berkata, penilaian tidak pernah berpihak kepada manamana jantina, sebaliknya menilai sejauh mana calon menunjukkan kredibiliti.
“Kemenangan anugerah ini bukan bermaksud wanita lebih berkredibiliti daripada lelaki, sebaliknya ia membuktikan bahawa peluang untuk memimpin terbuka kepada semua yang berusaha dan berprinsip.
“Kepimpinan sebenar tidak datang daripada siapa kita secara biologinya, tetapi daripada bagaimana kita menggunakan potensi, nilai dan tanggungjawab untuk membawa perubahan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Kongsi Mariam, seorang pemimpin sejati merupakan individu yang mampu duduk pada aras sama dengan pengikutnya, mendengar dan memberi ruang supaya orang lain boleh ke hadapan.
“Ia menjadikan seorang pemimpin lebih dekat dan disenangi oleh pasukannya, tanpa wujud jurang antara mereka.
“Saya juga berpegang kepada niat dan iktikad yang ikhlas dalam memimpin kerana keikhlasan itulah yang menjadikan kepimpinan kita diberkati dan meninggalkan kesan yang berkekalan,” ujarnya.
Dalam diri seorang mahasiswa, pasti tersembunyi potensi besar yang mampu mencorak masa depan bangsa.
Begitulah Mariam yang membuktikan bahawa gelaran ‘mahasiswa’ itu tidak mengehadkannya sekadar menuntut ilmu ke menara gading.
Ejen perubahan nilai progresif
Katanya, peranan mahasiswa bukan sekadar di dalam kampus, tetapi sebagai ejen perubahan yang membawa nilai progresif kepada masyarakat.
“Mahasiswa mempunyai kelebihan tenaga muda, idealisme yang segar dan keberanian untuk mencuba perkara baharu.
“Ini menjadikan mereka aset penting dalam membina masyarakat yang lebih berdaya saing,” katanya.
Dalam era penuh cabaran dan perubahan, tokoh ini hadir membawa semangat baharu bahawa kepimpinan sejati lahir daripada tindakan, bukan gelaran.
“Bagi saya, mahasiswa yang progresif ialah mereka yang tidak hanya menunggu peluang, tetapi mencipta peluang, yang berani bersuara dengan bijaksana, memimpin dengan integriti dan berfikir ke hadapan untuk membawa perubahan yang mampan,” jelasnya.