VR, AI dan rasa ingin tahu: Masa depan pembelajaran Sains Malaysia

Iklan
Dalam dunia yang serba digital ini, di mana jawapan berada di hujung jari, cabaran sebenar pendidikan Sains bukan lagi sekadar mengajar fakta tetapi memupuk minat dan pemikiran saintifik di tengah lautan maklumat yang bergerak terlalu pantas. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Sheikh Muszaphar Shukor

"Kenapa perlu hafal formula kalau semuanya boleh cari di Google?"

Itu antara soalan yang sering saya dengar daripada pelajar sekolah ketika berbicara tentang Sains.

Iklan
Iklan

Dalam dunia yang serba digital ini, di mana jawapan berada di hujung jari, cabaran sebenar pendidikan Sains bukan lagi sekadar mengajar fakta tetapi memupuk minat dan pemikiran saintifik di tengah lautan maklumat yang bergerak terlalu pantas.

Sebagai seorang angkasawan dan penyelidik, saya melihat perubahan ini dari dua sisi: teknologi membuka ruang pembelajaran yang menakjubkan, tetapi juga membawa cabaran baharu kepada cara anak-anak kita belajar dan berfikir.

Iklan

Hari ini, anak berusia tujuh tahun sudah mahir mencari video eksperimen di YouTube.

Mereka menonton bagaimana cuka dan soda menghasilkan 'letupan gunung berapi' atau bagaimana roket mini boleh dilancarkan dengan belon.

Iklan

Aktiviti seperti ini boleh menyalakan rasa ingin tahu terhadap Sains tetapi hanya jika dibimbing dengan betul.

Namun, di sebalik semua itu, gajet yang sama juga boleh menjadi gangguan utama. Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan kepada skrin boleh menurunkan tumpuan dan membuat pelajar cepat bosan dengan pembelajaran sebenar.

'Teknologi bukan musuh', kata saya kepada guru dan ibu bapa. 'Yang penting ialah bagaimana kita menggunakannya untuk menghidupkan rasa ingin tahu, bukan mematikannya.'

TikTok, Instagram dan YouTube kini menjadi ‘guru’ baharu kepada ramai pelajar. Kandungan sains dalam bentuk video pendek eksperimen mini, fakta pelik atau animasi menarik memang mampu mencetus minat awal. Tetapi di sinilah cabarannya: tidak semua maklumat itu betul.

Fenomena science as entertainment menyebabkan pelajar kadang-kadang menganggap Sains sekadar hiburan visual, bukan ilmu yang perlu difahami.

Foto: Canva

Peranan guru

Guru memainkan peranan penting di sini membantu pelajar menilai sumber maklumat, bertanya soalan kritikal dan membezakan antara 'menarik' dan 'benar'.

Inilah kemahiran abad ke-21 yang lebih penting daripada sekadar menghafal rumus.

Kehadiran kecerdasan buatan (AI) menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang risaukan masa depan guru, ada yang teruja dengan potensinya.

Bagi saya, AI bukan ancaman. Ia pembantu yang bijak. Hari ini, AI boleh menyesuaikan pembelajaran mengikut tahap pelajar mengenal pasti topik yang mereka lemah, mencadangkan aktiviti pengukuhan dan memberi maklum balas segera.

Bayangkan pelajar yang sukar memahami konsep tenaga boleh menjalankan eksperimen maya tentang haba dan geseran tanpa risiko atau kos tinggi. AI menjadikan makmal tersedia di skrin bila-bila masa, di mana-mana.

Namun, saya percaya tiada algoritma yang boleh menggantikan kasih sayang dan motivasi seorang guru.

Hubungan emosi antara guru dan pelajar masih menjadi bahan bakar utama kepada minat terhadap Sains.

Foto: Canva

Buku teks ke alam nyata

Teknologi Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) pula membawa Sains keluar dari buku teks ke alam nyata.

Pelajar kini boleh 'berjalan' di permukaan Marikh, 'menyelam' ke dasar laut atau melihat sel darah mengalir dalam badan semua dalam suasana 3D yang interaktif.

Begitu juga dengan gamifikasi pembelajaran melalui elemen permainan seperti cabaran, mata ganjaran dan tahap pencapaian.

Pendekatan ini merangsang semangat ingin tahu secara semula jadi, menjadikan Sains sesuatu yang menyeronokkan, bukan menakutkan.

Namun, teknologi ini hanya berkesan jika disertai strategi pedagogi yang jelas. VR tanpa panduan tetap hanyalah hiburan visual.

Peranan guru masih menjadi nadi utama membantu pelajar memahami apa yang mereka lihat, bukan sekadar teruja dengannya.

Kita juga tidak boleh menafikan wujudnya jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar atau antara sekolah berkemampuan dan sekolah yang serba kekurangan. Akses internet dan gajet bukan sesuatu yang sama rata.

Selain itu, dengan munculnya AI dan media sosial, timbul pula isu baharu privasi data, bias algoritma, dan penyalahgunaan teknologi.

Maka, pendidikan Sains era baharu perlu turut menekankan literasi digital dan etika teknologi, bukan sekadar kandungan akademik.

Era digital membawa potensi luar biasa untuk menjadikan pembelajaran Sains lebih menarik, inklusif dan bermakna.

Foto: Canva

Tetapi untuk itu, kita perlu melangkaui pendekatan lama. Sains bukan lagi hanya tentang buku teks dan markah ujian ia tentang kehidupan sebenar, soalan yang ingin dijawab, dan imaginasi yang ingin diteroka.

Kita tidak mahu anak-anak hanya tahu menggunakan teknologi kita mahu mereka berfikir secara saintifik, bertanya dengan berani, dan menggunakan teknologi dengan bijak serta beretika.

Jika setiap klik, tontonan dan eksperimen maya disertai rasa ingin tahu dan bimbingan yang betul saya percaya generasi baharu Malaysia bukan sahaja akan celik digital, tetapi juga akan jatuh cinta kepada Sains dengan sepenuh hati.

Maklumat penulis:

Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my