
Pembudayaan membaca: Dari sekolah rendah ke universiti
Dalam era digital yang serba pantas ini, di mana maklumat boleh dicapai dengan hanya satu sentuhan, minat membaca dalam kalangan pelajar semakin merosot khususnya dalam bidang Sains.
Sebagai seorang angkasawan, pendidik dan bapa, saya percaya bahawa budaya membaca bukan sekadar tabiat, tetapi asas kepada daya fikir kritis dan keinginan untuk meneroka dunia ilmu.
Namun, realiti yang kita hadapi di sekolah-sekolah Malaysia kini amat membimbangkan. Berdasarkan kajian saya di beberapa sekolah rendah di kawasan bandar, minat membaca bahan Sains menunjukkan trend penurunan yang ketara sejak dua tahun kebelakangan ini.
Di sekolah bandar yang dilengkapi kemudahan moden, jumlah pinjaman buku Sains menurun daripada ratusan pada tahun 2022 kepada hanya puluhan pada 2024.
Ini menunjukkan bahawa isu budaya membaca tidak mengenal sempadan sosioekonomi; ia merupakan masalah bersama yang perlu ditangani dengan serius.
Perbandingan antara sekolah kluster kecemerlangan (bandar) dan sekolah elit (bandar) turut mendedahkan jurang yang signifikan dari segi budaya membaca Sains.
Di sekolah kluster kecemerlangan, kadar pinjaman buku Sains menurun sekitar 35 peratus, namun masih mengekalkan tahap penglibatan yang lebih baik
Hampir 40 peratus daripada keseluruhan murid di sekolah ini kekal aktif membaca bahan Sains, menunjukkan wujudnya kelompok pelajar yang konsisten.

Sebaliknya, di sekolah elit bandar penurunannya jauh lebih drastik, mencecah hampir 50 peratus dalam tempoh sama.
Hanya sekitar 25 peratus murid yang masih aktif membaca Sains, menunjukkan bahawa pencapaian akademik yang tinggi tidak semestinya seiring dengan budaya membaca yang kukuh.
Dari segi jantina, kedua-dua sekolah menunjukkan pola serupa, dengan murid perempuan lebih aktif membaca berbanding murid lelaki.
Sekitar 60 peratus peminjam aktif di sekolah kluster ialah murid perempuan manakala di sekolah elit peratusannya meningkat kepada 65 peratus.
Masih jauh ketinggalan
Selain itu, perbandingan dengan subjek lain turut menunjukkan bahawa bahan bacaan Sains masih jauh ketinggalan.
Di sekolah elit bandar misalnya, pinjaman buku Matematik hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding bahan Sains. Keadaan ini menggambarkan kecenderungan murid yang lebih menumpukan kepada subjek peperiksaan berbanding pembacaan untuk menambah ilmu.
Kajian antarabangsa turut menyokong dapatan ini. Beberapa penyelidikan mendapati bahawa bahan bacaan berbentuk naratif mampu menimbulkan rasa ingin tahu saintifik manakala pembelajaran berasaskan permainan menjadikan Sains lebih menyeronokkan.
Namun, pendekatan sebegini masih belum diamalkan secara meluas dalam sistem pendidikan kita.

Guru-guru Sains yang ditemu bual turut berkongsi kebimbangan yang sama.Ramai murid melihat Sains sebagai subjek yang sukar kerana konsepnya terlalu abstrak untuk difahami hanya melalui buku teks.
Kekurangan bahan bacaan tambahan yang sesuai dengan tahap umur menyebabkan mereka cepat bosan. Akibatnya, ramai pelajar lebih bergantung kepada hafalan berbanding pemahaman sebenar, lalu gagal mengaitkan Sains dengan kehidupan seharian.
Lebih membimbangkan, terdapat ketidakseimbangan dari segi penglibatan murid pelbagai latar belakang.
Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, jurang pencapaian akan terus melebar apabila murid melangkah ke sekolah menengah dan seterusnya ke universiti.
Sukar memahami teks akademik
Murid yang tidak biasa membaca sejak kecil akan sukar memahami teks akademik yang lebih kompleks dan akhirnya ketinggalan dari segi pemikiran kritis.
Situasi ini turut dirasai di peringkat universiti. Ramai pensyarah melaporkan bahawa sebahagian besar mahasiswa masih kurang membaca rujukan tambahan dan hanya bergantung kepada nota kuliah.
Akibatnya, keupayaan untuk berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif menjadi terbatas.
Sebagai seorang yang sering berinteraksi dengan mahasiswa, saya dapat melihat dengan jelas bagaimana kelemahan asas membaca sejak di bangku sekolah terus terbawa hingga ke menara gading.
Masalah ini bukan sekadar kelemahan individu, tetapi satu cabaran nasional.

Malaysia bercita-cita menjadi negara berasaskan pengetahuan, namun tanpa budaya membaca yang kukuh, cita-cita ini sukar dicapai.
Bagi membendung isu ini, kita perlu memperkenalkan beberapa pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Sekolah serta universiti wajar menyediakan sudut bacaan khas yang dipenuhi dengan pelbagai bahan bacaan Sains daripada buku popular, komik pendidikan hingga majalah semasa bagi menarik minat pelajar secara santai.
Dalam masa yang sama, integrasi teknologi perlu diperluas. Penggunaan aplikasi mudah alih, video animasi, dan teknologi seperti Augmented Reality (AR) dapat menjadikan pembelajaran Sains lebih interaktif dan menyeronokkan terutama bagi pelajar yang lebih responsif terhadap visual dan pengalaman digital.
Program membaca juga perlu distruktur dengan lebih baik, melibatkan bukan sahaja pihak sekolah tetapi juga ibu bapa di rumah.
Apabila ibu bapa menunjukkan minat membaca dan meluangkan masa membaca bersama anak-anak, tabiat ini akan terbentuk secara semula jadi.
Di universiti pula, amalan membaca artikel jurnal dan bahan ilmiah secara berkumpulan boleh dijadikan budaya tetap, agar pelajar terbiasa berdiskusi secara akademik dan menilai pelbagai pandangan.
Selain itu, bahan bacaan yang bersifat kontekstual harus diberi keutamaan.
Buku dan artikel Sains yang mengangkat isu tempatan seperti alam sekitar, teknologi hijau, atau penyelidikan inovasi Malaysia mampu menjadikan Sains lebih dekat dan relevan dengan kehidupan pelajar.
Hal ini penting agar pelajar bukan sahaja memahami teori, tetapi juga mampu melihat kaitan ilmu dengan realiti sekeliling. Guru dan pensyarah turut memainkan peranan utama dalam menghidupkan budaya membaca ini.
Guru perlu didedahkan kepada pendekatan pengajaran yang kreatif seperti model 5E (Engage, Explore, Explain, Elaborate, Evaluate) yang menekankan penerokaan dan refleksi manakala pensyarah di universiti pula digalakkan memperkukuh kemahiran membaca analitik melalui tugasan literatur dan perbincangan ilmiah.

Semai sejak sekolah rendah
Budaya membaca tidak boleh bermula di universiti. Ia mesti disemai sejak di sekolah rendah agar menjadi tabiat semula jadi apabila pelajar meningkat dewasa.
Universiti pula berperanan menyuburkan budaya ini dengan memperluas ruang diskusi dan bacaan kritikal yang menajamkan pemikiran.
Apabila saya berada di angkasa lepas, melihat bumi dari jendela stesen orbit, saya menyedari bahawa setiap kejayaan besar bermula dengan satu perkara kecil rasa ingin tahu.
Dan rasa ingin tahu itu hanya lahir apabila seseorang mula membaca dan bertanya 'mengapa' dan 'bagaimana'.
Jika kita benar-benar mahu Malaysia menjadi negara berasaskan ilmu, kita perlu bermula dengan membina budaya membaca yang kukuh dari sekolah rendah hingga ke universiti.
Hanya dengan itu kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga tajam pemikirannya dan luas pandangannya terhadap dunia.
Akhir kata Knowledge is power.
Maklumat penulis:
Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Minat membaca bahan Sains di kalangan pelajar khususnya di bandar menunjukkan penurunan yang ketara
- Budaya membaca penting sebagai asas kepada daya fikir kritis dan keinginan meneroka
- Jurang budaya membaca antara sekolah kluster kecemerlangan dan sekolah elit bandar adalah signifikan
- Murid perempuan lebih aktif membaca bahan Sains berbanding murid lelaki
- Kekurangan bahan bacaan yang menarik dan sesuai dengan tahap umur menyebabkan pelajar cepat bosan dan bergantung kepada hafalan