KPM junjung titah Raja Permaisuri Agong wujudkan persekitaran selamat di institusi pendidikan

Iklan
Raja Zarith Sofiah ketika menerima menghadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Fadhlina di Istana Negara. Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjunjung titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan mewujudkan persekitaran yang selamat di semua institusi pendidikan.

Dalam kenyataan pada Rabu, KPM memaklumkan bahawa titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan penting kepada seluruh warga kementerian untuk menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi besar kepada masyarakat dan negara.

Iklan
Iklan

"KPM komited melaksanakan kempen kesedaran menyeluruh di semua institusi pendidikan, menilai keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak), serta bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjalankan kajian mengenai pengaruh media sosial terhadap murid seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda.

"Keprihatinan Raja Permaisuri Agong yang menzahirkan pandangan berhubung isu sosial dan langkah menanganinya menjadi panduan kepada KPM untuk terus memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan," menurut kenyataan itu.

Iklan

Pada Selasa, Seri Paduka Baginda bertitah agar KPM menilai keberkesanan modul kempen TinDak dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah yang lebih selamat dengan penglibatan aktif ibu bapa.

Titah tersebut dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini yang dipandang serius oleh Seri Paduka Baginda.

Iklan

Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut bertitah agar sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk penggunaan Internet dan media sosial dalam kalangan murid serta menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman. - Bernama