Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membangunkan satu aplikasi digital khas bagi memudahkan warga universiti itu menyalurkan aduan kes buli, tekanan emosi dan serangan seksual, selain turut bertindak melindungi identiti pengadu.
Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Arham Abdullah berkata, aplikasi yang dinamakan Skuad Waja Siswa @ UMK itu diintegrasikan ke dalam platform sedia ada universiti, Cinemo, yang boleh diakses oleh seluruh warga UMK termasuk 14,000 penuntut sejak sebulan lalu.
"Kebiasaannya, mangsa buli dan serangan seksual sukar untuk tampil meluahkan perkara yang dialami. Jadi, dengan aplikasi ini, tidak perlu lagi membuat aduan melalui telefon atau kaedah manual.
"Mereka boleh terus melaporkan sebarang kejadian secara dalam talian dan identiti mereka akan dirahsiakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Skuad Waja Siswa Peringkat Negeri Kelantan di UMK Kampus Kota pada Rabu.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Faridah Awang.
Mengulas lanjut, Arham berkata, setiap aduan yang dihantar melalui aplikasi itu akan disemak oleh Sekretariat UMK dan siasatan lanjut akan dijalankan untuk tindakan seterusnya jika aduan didapati sahih.
"Sistem log masuk membolehkan kami mengenal pasti pengadu tetapi itu bertujuan untuk pengesahan sahaja dan identiti mereka akan tetap dilindungi sepenuhnya pada peringkat pengurusan.
"Ini penting untuk memberi kesedaran supaya lebih ramai berani tampil membuat aduan tanpa rasa takut atau malu," jelasnya.
Tambahnya, inisiatif pembangunan aplikasi itu merupakan sokongan langsung kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaku peneraju Skuad Waja, selain memperkukuh komitmen UMK dalam mewujudkan kampus yang selamat dan bebas daripada keganasan.
"Kami melihat kes-kes seperti buli dan gangguan seksual bukan lagi isu terpencil yang perlu ditangani secara sistematik, manakala teknologi mampu membantu mempercepatkan tindakan serta pemantauan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan aplikasi terbabit masih pada fasa awal dan akan diperluaskan penggunaannya.
Ujarnya, UMK turut memperkukuh dasar kampus selamat dengan menetapkan tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang terlibat dalam kegiatan buli, selain menerapkan nilai hormat, prihatin dan integriti dalam program pembangunan pelajar.
"UMK setakat ini tidak merekodkan sebarang kes buli, namun kami tidak boleh alpa.
"Ancaman keselamatan kini semakin kompleks dan memerlukan sistem yang proaktif seperti Skuad Waja dalam kalangan siswa ini," katanya.
Untuk rekod, penubuhan Skuad Waja Siswa antaranya bertujuan melatih golongan muda menangani gejala sosial dan jenayah di institusi pengajian tinggi (IPT).