Management and Science University (MSU) terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara institusi pendidikan tinggi terbaik dunia apabila melonjak sebanyak 200 tangga, berada dalam kedudukan #601-800 dunia berdasarkan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026 yang terkini.
Untuk rekod pada 2025, MSU berada pada kedudukan #801-1,000 dunia.
Pencapaian ini melibatkan penilaian terhadap 2,191 institusi dari 115 negara dan wilayah, menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2,092 institusi yang tersenarai dalam THE World University Rankings 2025.
THE World University Rankings yang berpangkalan di United Kingdom menilai lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa (International Outlook).
Lonjakan kedudukan MSU pada 2026 sejajar dengan pencapaian universiti itu dalam THE Impact Rankings 2025, apabila turut berada pada kelompok #101-200 terbaik dunia.
Secara keseluruhannya, 27 institusi pengajian tinggi di Malaysia telah disenaraikan di THE World University Ranking 2026 di mana MSU berada pada kedudukan 10 terbaik secara keseluruhannya.
Manakala bagi indikator International Outlook pula telah menyaksikan MSU berada pada kedudukan ke-91 terbaik di dunia.
Ini merupakan penanda aras kepada keberkesanan strategi pengantarbangsaan MSU.
Melalui strategi pengantarabangsaan yang menyeluruh, MSU telah menjalinkan kerjasama pintar lebih 500 universiti dan institusi di seluruh dunia, ini membuka laluan kepada pelbagai bentuk mobiliti global termasuk program pertukaran pelajar dan staf (inbound dan outbound), latihan industri dan penyelidikan bersama.
Sehingga kini, komuniti pelajar antarabangsa MSU adalah berasal dari 75 negara termasuklah United Kingdom, Turkiye, China, Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Oman, France, Yemen, Myanmar, Nigeria, Sudan, Botswana, India, Comoros, Iran, Libya dan lain-lain.
Antara program mobiliti global yang ditawarkan di MSU ialah Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP) yang mendapat sokongan universiti melalui Yayasan MSU melalui pengenalan Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE).
MSU turut memperkukuh jenamanya di peringkat global melalui kampus antarabangsanya di Bangalore (India), Colombo (Sri Lanka) dan Jakarta (Indonesia).
Inisiatif ini bukan sahaja memperluas akses kepada peluang pendidikan rentas sempadan, malah memperkukuh reputasi MSU sebagai universiti global.
Selain itu, pendekatan industry talent embedded ecosystem yang diterapkan turut diintegrasikan dalam agenda pengantarabangsaan melalui kolaborasi strategik dengan lebih 3,000 rakan industri di dalam dan luar negara.
Ini membolehkan pelajar MSU mendapat pengalaman global sebenar, bersedia untuk pasaran kerja antarabangsa dan memenuhi keperluan industri global yang dinamik.
Selain aspek kerjasama pintar dengan rakan industri dan pengantarabangsaan, misi MSU dalam memperkasakan pembangunan modal insan turut merangkumi penekanan kepada aspek kebolehpasaran, keusahawanan, jalinan komuniti serta disokong oleh penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat serta pendidikan fleksibel.
Seiring hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan antarabangsa, MSU kekal komited untuk membina jaringan global yang inklusif, inovatif dan berimpak tinggi serta merealisasikan aspirasi untuk melahirkan graduan bertaraf dunia yang mampu menjadi pemimpin di peringkat global.