KPM umum garis panduan keselamatan & larangan telefon pintar tidak lama lagi

Iklan
KPM turut menyokong hasrat kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber, dengan mekanisme pelaksanaannya akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui MCMC. Foto: Canva

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dan menetapkan garis panduan khusus susulan cadangan pelaksanaan langkah segera bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid berusia bawah 16 tahun.

KPM dalam kenyataan memaklumkan garis panduan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menggariskan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan, termasuk usaha meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi berkenaan.

"Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber, dengan mekanisme pelaksanaannya akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya.

Iklan

Menurut KPM, semua institusi pendidikan di bawah seliaannya turut digesa memperkukuh peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan dapat ditingkatkan secara menyeluruh.

Kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah KPM. - Bernama

Iklan