Siapa sangka sebuah perpustakaan akademik yang sinonim dengan suasana tenang dan ilmiah mampu bertukar menjadi ruang pembelajaran santai penuh keceriaan?
Itulah keunikan program ‘Night at the Library’ anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak) yang berlangsung pada 17 dan 18 Oktober lalu.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPN Perak, Norhan Suid@Shuib menzahirkan penghargaan kepada UPSI atas kejayaan menganjurkan aktiviti berimpak tinggi itu.
“Tahniah kepada UPSI atas penganjuran aktiviti yang bersesuaian dengan peserta serta memberi peluang unik untuk murid-murid mengasah pelbagai kemahiran, meningkatkan kreativiti dan berinteraksi dalam suasana berbeza,” katanya yang menyempurnakan majlis penutupan ‘Night at the Library’ baru-baru ini.
Secara tidak langsung, program ini bukan sahaja menonjolkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, malah membuktikan bahawa pembelajaran boleh berlaku di mana-mana, dengan cara yang menyeronokkan dan penuh makna.
Sementara itu, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad berkata, program seumpama ini merupakan langkah berterusan ke arah memperkukuh keterlihatan perpustakaan sebagai nadi penting dalam memupuk minat membaca pelajar.
Dia turut melahirkan rasa syukur dan gembira apabila perancangan rapi yang dilakukan membuahkan hasil serta menerima sambutan luar biasa.
“‘Night at the Library’ akan dijadikan program tahunan berikutan sambutan tinggi daripada ibu bapa dan pihak sekolah.
“Saya percaya jalinan strategik dan sokongan JPN Perak akan terus mengukuhkan pelaksanaan program ini. Terima kasih juga kepada penaja luar seperti Gempaq Starz, Blink Books, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan MustRead Publication atas sumbangan buku kepada para peserta,” tambahnya.
Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu mengumpulkan 85 peserta dalam suasana pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan serta sarat dengan elemen eksplorasi dan kerjasama.
Lebih membanggakan, UPSI menjadi universiti awam pertama yang melaksanakan program seumpama ini di negara ini.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk Dark Library Hunt!, Campfire & Survival Night, Explore Race serta persembahan kumpulan yang menguji daya kreativiti dan semangat berpasukan peserta.
Bagi memberi keselesaan kepada mereka, 15 unit khemah disediakan di ruang perpustakaan sebagai tempat penginapan sepanjang program dua hari satu malam itu.