Di sebalik jalan kampung yang tenang, terdapat satu gerakan kecil di Desa Brajan, Yogyakarta, Indonesia membawa makna besar tentang kemanusiaan, keimanan dan kelestarian.
Penduduknya tidak lagi melihat sampah sebagai bahan buangan tetapi peluang untuk beramal dan membantu sesama manusia.
Itulah semangat di sebalik Gerakan Shadaqah Sampah (GSS), sebuah inisiatif komuniti yang diasaskan oleh Ustaz Ananto Isworo. Ia lahir daripada keprihatinannya terhadap keluhan masyarakat tentang kesusahan hidup dan masalah kebersihan kampung.
Dengan ilham yang sederhana namun berjiwa besar, beliau memperkenalkan konsep 'sedekah sampah' iaitu bahan buangan dijadikan sumber kebajikan kepada penduduk yang memerlukan.
Tidak seperti gerakan kitar semula biasa, 'sedekah sampah' ini menyalurkan hasil kutipan bukan dalam bentuk wang tunai tetapi barangan seperti keperluan asas dan pendidikan.
Gerakan ini bertunjang kepada konsep sedekah. Penduduk kampung menyumbangkan sampah, tenaga untuk mengasing dan menjual bahan buangan serta menyedekahkan hasil jualan sampah kepada rakan-rakan sekampung yang memerlukan.
Plastik, botol, kertas dan bahan kitar semula lain dikumpulkan kemudian dijual serta hasilnya ditukar menjadi barang seperti beras, alat tulis atau pakaian untuk golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, warga tua dan golongan fakir.
Kesejahteraan
Namun, tiada usaha tanpa cabaran. Sejak inisiatif ini dimulakan lebih 10 tahun lalu, sokongan penduduk kampung ada pasang surutnya.
Bagi memastikan operasi terus lestari, usaha ini juga diharapkan dapat diketahui lebih ramai pihak.
Dari sini tercetusnya peluang kerjasama misi hijau antara GSS, Desa Brajan dengan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM).
Melalui geran Mobiliti Matching Fund 2025 (MOMAF2025) yang didanai oleh Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM, kerjasama itu menjadi kenyataan.
Penerima geran MOMAF2025, Profesor Madya Dr Nik Norma Nik Hasan bersama 10 pelajar kewartawanan dari PPK USM berpeluang bekerjasama dengan penduduk Desa Brajan mendokumentasikan aktiviti mereka melalui video pendidikan dan promosi bermula 28 September hingga 3 Oktober lalu.
Program bertajuk Empowering B40 Students Through Outbound Mobility for Climate and Cultural Resilience Storytelling memberi tumpuan bagaimana usaha sedekah sampah mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan persekitaran Desa Brajan melalui budaya gotong-royong.
Dengan fokus penceritaan lestari, pelajar berpeluang mengikuti aktiviti seharian sukarelawan Desa Brajan serta membuat pemantauan sambil merakamkan aktiviti mereka selama tiga hari.
Pada hari pertama, pelajar kewartawanan berpeluang mengenali Ustaz Ananto serta 25 sukarelawan Desa Brajan.
Sesi ini untuk memahamkan pelajar tentang usaha yang dijalankan sambil mengenali penduduk dengan lebih dekat lagi.
Rakaman pada hari kedua dibuat melalui simulasi kutipan sampah oleh sukarelawan. Pelajar mengikuti sukarelawan dengan menaiki motosikal untuk mengelilingi desa sambil membuat rakaman.
Kutip sampah setiap minggu
Pada setiap minggu, sukarelawan GSS mengutip sampah dari rumah ke rumah. Sampah yang telah diasingkan dimasukkan ke dalam tempat pembuangan sampah yang disediakan.
Jika rumah penduduk jauh dari bekas buang sampah, mereka mengasing dan mengikatnya dalam plastik dan diletakkan di hadapan rumah untuk kutipan.
Sampah yang dikutip di bawa ke Masjid Al-Muharram untuk dikumpul dan diasingkan.
Di situ, sukarelawan terdiri dari golongan wanita sudah menunggu untuk membersih dan mengasingkannya.
Penutup botol plastik dan labelnya diasingkan dalam bekas yang lain. Dengan cara ini mereka boleh mendapat tiga bentuk pembayaran iaitu botol, penutup botol dan label.
"Jika tidak diasing, hanya satu pembayaran kecil yang diterima. Inilah yang strategi yang mesti difahami," kata Ustaz Ananto.
Dalam tempoh 15 minit sahaja, sampah yang dikutip sudah selesai diasingkan dengan dedikasi. Aktiviti ini bukan sahaja mendidik masyarakat tentang pengurusan sisa malah menyemai nilai tolong-menolong dan rasa kebersamaan.
Keunikan gerakan ini ialah penyertaan seluruh warga kampung daripada golongan anak kecil hingga dewasa. Semuanya ada peranan masing-masing.
Kanak-kanak dididik mengasingkan bahan buangan sejak sekolah. Belia dan orang dewasa bertindak sebagai sukarelawan dalam proses kutipan dan pengasingan, mengikut kemampuan mereka.
Didikan dari kecil ini banyak menghasilkan peluang dan ruang untuk penduduk desa itu.
Ada juga beberapa anak-anak sukarelawan yang pernah aktif dalam gerakan ini, kini berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
Kejayaan seperti ini agak jarang berlaku di Desa Brajan kerana taraf hidup dan kesedaran tentang pentingnya pendidikan. Ini membuktikan bahawa amal kecil boleh melahirkan perubahan besar dalam jangka panjang.
Mesej
Selain menjalankan rakaman video dan temu bual dengan penduduk, pelajar kewartawanan menganjurkan bengkel penyuntingan video kepada komuniti setempat bagi menyampaikan mesej usaha sedekah sampah ke dunia luar melalui media sosial.
Pada hari ketiga, peserta menyerahkan tiga video pendidikan dan promosi kepada Ustaz Ananto dan penduduk kampung Desa Brajan sebagai sumbangan kerjasama ini.
'Sedekah Sampah, Sedekah Jiwa' ialah video yang menceritakan tentang konsep sedekah dalam Islam yang dipraktikkan dalam usaha ini untuk kebaikan masyarakat dan alam sekitar.
Video kedua memperihalkan kejayaan anak muda Desa Brajan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi hasil dari sumbangan sedekah sampah.
Manakala video terakhir adalah refleksi pelajar kewartawanan tentang pembelajaran yang mereka perolehi dari aktiviti GSS.
Gerakan ini berjaya mencapai lebih daripada apa yang dijangkakan. Ia bukan sahaja mengurangkan sisa pepejal dan pencemaran, malah membina hubungan sosial yang erat dalam kalangan penduduk.
Kini, Desa Brajan bukan sekadar dikenali kerana pengumpulan sampah tetapi contoh komuniti lestari berasaskan nilai kemanusiaan.
Sehubungan itu, Inisiatif seperti ini wajar dicontohi oleh masyarakat Malaysia.
PENULIS: MUHAMMAD AHNAF ABD TALIB