Ribut Sijangkang: Baik pulih 4 sekolah selesai dalam tempoh tiga bulan - Amirudin

Iklan
Keadaan bumbung sebuah sekolah yang rosak teruk selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang melanda kawasan Sijangkang, Kuala Langat baru-baru ini.

Kerja-kerja baik pulih empat sekolah di Sijangkang yang terjejas akibat ribut di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor pada 15 Oktober lepas dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sebanyak RM10.1 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi proses baik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan kerosakan melibatkan struktur bumbung dan kekuda utama. Setakat ini, SMK Sijangkang Jaya telah siap 90 peratus dan bangunan telah diisytihar selamat.

"Lebih 400 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah kembali ke bilik darjah bagi menghadapi peperiksaan bermula 2 November ini, manakala pelajar dari tiga sekolah lagi masih menjalani PdPR sehingga kerja pemulihan selesai," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Amirudin yang meninjau kerja-kerja baik pulih di SMK Sijangkang Jaya turut diberikan taklimat mengenai perkembangan terkini di empat sekolah berkenaan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Shukri Ishak.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui JKR, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) akan terus memantau rapi perkembangan kerja-kerja baik pulih itu.

Iklan

"Kerajaan negeri berharap semua kerja-kerja pemulihan dapat disiapkan mengikut jadual supaya proses pembelajaran pelajar dapat diteruskan dengan selamat dan selesa," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang Rabu lepas, sebanyak empat sekolah terjejas, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan dan fenomena ribut itu disifatkan antara yang terburuk di Selangor dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. - Bernama