Imperial College London di United Kingdom bukanlah calang-calang institusi.
Ia merupakan universiti berprestij yang terkenal di seluruh dunia kerana kecemerlangannya dalam bidang sains, kejuruteraan, perubatan dan perniagaan.
Malah, institusi ini sering berada dalam tiga teratas universiti terbaik di United Kingdom menurut Jadual Liga Universiti-universiti Britain.
Justeru, tidak hairanlah apabila pelajarnya turut menunjukkan kecemerlangan luar biasa termasuk seorang anak Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Terbaharu, Muhammad Hilman Nor Azmi, pelajar tajaan Yayasan Terengganu, mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains (Fizik) di Imperial College London dengan Kepujian Kelas Pertama.
Menurut perkongsian di laman rasmi Facebook Yayasan Terengganu, Hilman merupakan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu ke Luar Negara, yang menyokong pelajar-pelajar pintar untuk melanjutkan pelajaran di universiti ternama dunia.
"Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
"Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian gemilang di masa hadapan," jelas Yayasan Terengganu.
Sementara itu, pencapaian luar biasa bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (Batch SPM 2018) telah mendapat perhatian ramai warganet, yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan kata-kata semangat.
Antara reaksi yang mencuri tumpuan ialah daripada pengguna Facebook bernama Roii RK yang menulis:
"Pelajar ini betul-betul hebat. Nak masuk Imperial College bukan mudah. Dia tamatkan pengajian dalam kelas pertama. Memang luar biasa!"
Seorang lagi pengguna, Akmalia Jaafar, turut menitipkan doa:
"Tahniah anakanda Hilman. Semoga terus cemerlang dunia akhirat. Aamiin. Doakan anak makcik juga berjaya seperti kamu, kini di tahun kedua Bio Medical Science di University of Manchester."
Manakala pengguna lain, Ros Dahimah, secara ringkas menulis:
“Cerdiknya awak, dik. Tahniah!”
Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan agar kejayaan Hilman terus menjadi sumber inspirasi kepada pelajar lain untuk berani bermimpi besar dan melangkah lebih jauh dalam bidang sains serta teknologi.