Dua anak muda Johor berjaya melakar sejarah peribadi yang luar biasa apabila terpilih melanjutkan pengajian ke Imperial College London, di United Kingdom, sebuah universiti berprestij yang berada di tangga teratas dunia.
Kedua-dua mereka, Laxmann Muralitharan dan Lee Chong Min merupakan penerima Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) Kohort Pertama 2023, satu inisiatif unggul Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan bertaraf global.
Bagi Laxmann, kejayaan menempatkan diri di universiti tersohor itu menjadi simbol kepada usaha gigih dan cita-cita tinggi yang dipegang sejak kecil.
Beliau memilih untuk mendalami bidang Bioteknologi, selaras dengan minatnya terhadap sains dan penyelidikan yang mampu membawa manfaat kepada masyarakat.
Manakala rakannya, Chong Min pula akan menempuh dunia Kejuruteraan Kimia, bidang yang menuntut ketelitian dan daya analisis tinggi.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi YPJ, keberangkatan dua pelajar cemerlang itu disambut penuh rasa bangga dan harapan besar.
"Perjalanan ini bukan hanya membawa mereka ke bumi asing, tetapi turut memikul doa dan harapan negeri Johor agar ilmu yang ditimba menjadi cahaya yang kembali menyinari tanah air.
"Semoga keberangkatan mereka menjadi inspirasi buat generasi Johor yang lain bahawa dengan tekad dan usaha, dunia terbentang luas menanti untuk diterokai," kongsi mereka pada Khamis.
Turut hadir mengiringi pemergian mereka ialah Pengurus Besar YPJ ketika itu, Suhairi Hashim, ahli keluarga serta wakil YPJ yang sama-sama berbangga dengan kejayaan tersebut.
Untuk info, BOMJ adalah inisiatif strategik Kerajaan Negeri melalui YPJ yang menawarkan penajaan untuk pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti pengajian di universiti terbaik dunia.
Inisiatif ini memberi peluang kepada anak muda Johor menimba ilmu pengetahuan, mengasah potensi, membina jaringan antarabangsa dan kembali menyumbang kepakaran kepada negeri tercinta selepas tamat pengajian.