Kejayaan berganda buat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) apabila salah seorang pelajarnya, Pegawai Kadet Muhammad Arif Hizwan Mohd Hafiez (Tentera Laut Diraja Malaysia - TLDM), diiktiraf sebagai penerima Best Academic Student Award oleh Malaysia Joint Branch RINA-IMarEST baru-baru ini.
Sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim di Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP), pencapaian Arif Hizwan membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan keteguhan disiplin mampu berjalan seiring dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkarakter tinggi.
Anugerah berprestij itu bukan sahaja mengangkat nama UPNM, malah mengiktiraf keunggulan pelajar pertahanan dalam bidang maritim di peringkat nasional. Ia turut menjadi simbol bahawa pendidikan berteraskan nilai pertahanan tidak pernah mengehadkan potensi pelajar untuk cemerlang dalam arena profesional dan teknikal.
Menurut pihak universiti, kejayaan itu selari dengan aspirasi UPNM30 dalam melahirkan graduan berdaya saing global, berintegriti serta berpengetahuan tinggi dalam bidang masing-masing.
“Arif Hizwan ialah contoh pelajar yang bukan sahaja menonjol dari segi akademik, tetapi juga dalam kepimpinan dan sahsiah. Kejayaan beliau membuktikan disiplin tentera dan ketekunan ilmu mampu menghasilkan individu berwibawa,” ujar wakil fakulti.
Dalam masa yang sama, rakan-rakan serta tenaga pengajar turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang disifatkan sebagai inspirasi kepada seluruh warga kampus, khususnya pelajar program maritim dan teknologi pertahanan.
Kejayaan Arif Hizwan menjadi bukti bahawa di sebalik uniform dan latihan ketenteraan yang mencabar, terserlah semangat menuntut ilmu yang tinggi dan komitmen luar biasa terhadap kecemerlangan diri serta institusi.