Selepas kejayaan besar tahun lalu, Air Selangor sekali lagi membuka peluang kepada pelajar sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan kreativiti dan kehebatan dalam menyebarkan mesej pemuliharaan air melalui cara yang menyeronokkan.
Sambutan hangat itu membuktikan bahawa pelajar di negara ini bukan sahaja celik alam, malah berdaya saing dan inovatif dalam memberikan idea tentang kelestarian air.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali mengakui kehebatan pelajar TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) dalam pembikinan video.
"Pertandingan kepada anak-anak sekolah rendah pada tahun lalu memang bagus, penceritaan mereka untuk menjimatkan air juga kreatif.
"Untuk tahun ini, kita juga membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk menghasilkan video, jalan cerita dan mesej terbaik supaya boleh membantu komuniti lain," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Untuk rekod, Air Selangor bersama BoBoiBoy akan melawati 15 sekolah di beberapa kawasan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menyampaikan mesej tentang pemuliharaan air melalui Jelajah TV PSS Sinar Bestari.
Sebanyak lima sekolah telah terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cuepacs, SK Kampung Medan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak, SK Taman Melati dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima.
Disebabkan itu, tambah Adam Saffian, jelajah dan pendedahan awal ini sedikit sebanyak membantu pelajar untuk lebih bersedia menampilkan kreativiti masing-masing.
"Kita harap penyertaan tahun ini lagi hebat supaya di akhir pertandingan nanti, boleh sebarkan kepada masyarakat keputusan dan muat naik bahan mereka di laman web Air Selangor,” katanya lagi.
Tahun ini, Peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy anjuran Air Selangor dijangka lebih mengagumkan apabila penyertaan dibuka kepada sekolah rendah dan menengah.
Adam Saffian yakin hasil karya pelajar sekolah menengah mampu mencuri tumpuan.
"Mesti mereka (pelajar sekolah menengah) lebih kreatif kerana macam-macam sudah ada. Mereka boleh guna aplikasi Canva atau SCRL. Saya yakin mereka boleh berikan yang terbaik,” katanya lagi.
Platform pelajar lebih kreatif
Jelajah TV PSS Sinar Bestari membawa Air Selangor bersama BoBoiBoy kali ini mengasah bakat dan kreativiti pelajar.
Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, pihaknya mahu membantu pelajar tampil lebih yakin untuk menyertai Peraduan Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy.
"Peranan Sinar Bestari menggalakkan penyertaan pelajar dalam peraduan ini.
"Kami berkongsi tip menghasilkan video kreatif, berimpak dan berkualiti supaya mesej jimat air disampaikan dengan lebih menarik," katanya.