1)"Saya rasa gembira terpilih menyertai program ini kerana cikgu beritahu ia untuk pelajar tertentu sahaja. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyediakan video tentang pemuliharaan air. Sejujurnya saya agak gementar kerana tidak mengetahui cara atau teknik menyunting video. Terima kasih kepada tenaga pengajar Meen Tahrin dan Ikhwan Azahari kerana beri ilmu ringkas kepada kami. Kawan-kawan dalam kumpulan pun banyak memberi bantuan dan idea untuk mencantikkan lagi video."
- Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cuepacs, Jasmeen Macsherly Anak Geogy, 12.
2)"Saya belajar cara menghasilkan video, mendapat tip jimat air dan turut menyertai aktiviti sampingan yang menyeronokkan. Ini benar-benar pengalaman paling berharga."
- Murid SK Kampung Medan, Nur Syakirah Humaira Noorazman, 11.
3)"Mulanya, saya ingatkan bengkel biasa tentang penjimatan air, tetapi apabila diberi pendedahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian sendiri, rasa seronok dan lebih faham pula tentang pembaziran air yang dilakukan individu setiap hari. Saya harap sekolah memberi peluang untuk menyediakan video supaya dapat menyertai peraduan ini. Sekiranya sekolah kami menang, saya harap cikgu boleh sediakan loker untuk menyimpan buku-buku teks. Inisiatif ini dapat mengurangkan beban pelajar yang membawa beg berat dan perlu berjalan kaki pergi atau pulang sekolah setiap hari."
- Pelajar SMK Bandar Tun Razak, Nurul Ain Rosman, 16.
4)"Saya ini seorang yang pemalu dan takut untuk bercakap di depan kamera. Program Jelajah TV PSS bersama Air Selangor dan BoBoiBoy seronok sebab dapat belajar banyak perkara baharu. Tenaga pengajar beritahu tentang cara mengelak membazir air di sekolah mahupun di rumah. Kami diberi tugasan untuk menyediakan video. Walaupun masa singkat tetapi kami berjaya siapkan mengikut tajuk yang diberi. Sebenarnya nak buat video ini senang jika kita tahu asas. Secara tidak langsung, kami belajar dua perkara iaitu pemuliharaan air dan membikin video."
- Murid SK Taman Melati, Mohammad Daniyal Qayyum Mohd Hafiz, 11.
5)"Sangat gembira kerana memperoleh pelbagai pengetahuan tentang penjagaan air. Jika diberi peluang, saya ingin menyertai program seperti ini lagi."
- Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Simpang Lima, Nettehshal Prathban, 10.
6)"Terima kasih kerana memilih SK Taman Cuepacs sebagai sekolah pertama program Misi Jimat Air bersama BoBoiBoy tahun ini. Warga Taman Cuepacs memang berbesar hati dan inilah pengalaman pertama kami menerima kolaborasi bersama Air Selangor dan Sinar Bestari di sekolah. Jadi, kami mengharapkan program seumpama dijalankan secara tahunan dan terbuka untuk menerima kunjungan daripada kedua-dua pihak. Saya akui program berkenaan memberi peluang kepada anak murid mempelajari perkara baharu."
- Guru Besar SK Taman Cuepacs, Azlina Yusoff, 54.
7)"Program ini bermanfaat kerana memberi pendedahan awal kepada murid tentang dunia penyiaran dan pentingnya pemuliharaan air sekali gus wajar diteruskan bagi memupuk kesedaran menjaga sumber air."
- Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Kampung Medan, Khariati Mohammad Akhiyar, 47.
8)"Ia membantu murid memahami kepentingan air dan cara menjaganya dengan betul. Saya berharap pengetahuan ini dapat diterapkan dalam kehidupan harian mereka."
- Guru Besar SJKT Simpang Lima, Selvanathan Muniandy, 57.
9)"Terima kasih kepada Air Selangor bersama Monsta dan Sinar Bestari kerana telah hadir ke sekolah kami dalam program ini. Sebenarnya, Jelajah TV PSS satu program sangat bagus dan baik untuk kita. Saya juga dapat tengok sendiri keseronokan pelajar apabila mereka fokus mendengar taklimat, menjawab soalan dan menyediakan tugasan video. Rupanya mereka boleh sahaja bercakap dengan yakin di hadapan kamera."
- Guru Perpustakaan dan Media SK Taman Melati, Muhammad Hazim Miswan, 29.