Pembinaan 350 kelas prasekolah baharu tidak terhad di sekolah rendah sebaliknya turut melibatkan institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lain, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Beliau berkata, ini termasuk sekolah menengah, kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
"Akses terhadap pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu perkara diberikan fokus yang besar oleh KPM dan Kerajaan Madani bagi memastikan anak-anak yang masuk ke Tahun Satu nanti mempunyai persediaan mencukupi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai akses dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Wong berkata, sebanyak RM125 juta diperuntuk bagi pembinaan prasekolah di peringkat KPM seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026.
Menjawab soalan asal Mohd Shahar mengenai perbelanjaan kerajaan untuk prasekolah berbanding tahap pendidikan lain, beliau berkata, sebanyak RM1.08 bilion diperuntuk daripada peruntukan keseluruhan kementerian berjumlah RM64.1 bilion bagi pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah pada 2025.
Wong berkata, daripada peruntukan RM1.08 bilion itu, sebanyak RM1.077 bilion adalah bagi tujuan emolumen manakala RM9.25 juta bagi bukan emolumen.
Beliau juga berkata, KPM turut memberikan tumpuan kepada pembangunan kompetensi guru agar mereka bersedia melaksanakan kurikulum prasekolah 2026 yang akan diperkenal secara rasmi pada tahun berkenaan selaras dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan prasekolah.
"Sepanjang 2025, latihan penataran kurikulum dilaksanakan secara berfasa melibatkan jurulatih utama di peringkat kebangsaan, negeri dan juga daerah sebelum disampaikan kepada guru-guru prasekolah di seluruh negara," katanya sambil menambah pendekatan itu bagi memastikan kefahaman guru terhadap kandungan kurikulum serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran baharu dapat diperkukuh.
Wong berkata, KPM memperuntukkan RM3.38 juta bagi pembangunan model dan modul serta pelaksanaan latihan guru prasekolah bagi tujuan itu, dengan antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembangunan modul latihan, bengkel pengoperasian nilai dan program peningkatan profesionalisme guru.
"Secara keseluruhan, usaha ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan guru dalam melaksanakan kurikulum baharu tetapi juga memastikan murid prasekolah dibentuk secara holistik daripada segi intelek, rohani, emosi dan juga jasmani," katanya. - Bernama