Penggunaan gajet dalam kalangan murid hari ini tidak lagi boleh dipisahkan daripada dunia pendidikan.
Bagaimanapun, menurut guru Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat, Mohd Haiqal Abdullah Chik, akses kepada teknologi perlu disertai dengan prinsip dan tanggungjawab yang jelas khususnya apabila melibatkan penggunaan media sosial.
Katanya, setiap kali ibu bapa menyerahkan gajet kepada anak-anak semestinya perlu ada sebab yang kukuh di sebaliknya.
“Dalam kebanyakan situasi, gajet digunakan bagi memudahkan proses pembelajaran seperti menyiapkan tugasan, menghantar kerja sekolah secara dalam talian dan mengakses pelbagai aplikasi pendidikan.
“Murid hari ini bukan sekadar menerima kerja rumah seperti dahulu. Mereka perlu mengisi rekod Nilam, menggunakan aplikasi tertentu dan kadangkala menghantar video atau tugasan melalui Google Form. Sebab itu penggunaan gajet memang diperlukan,” katanya dalam podcast Bual Bestari yang disiarkan di semua platform Sinar Bestari baru-baru ini.
Bagaimanapun, Mohd Haiqal menegaskan bahawa keperluan menggunakan gajet untuk pembelajaran tidak bermakna murid harus diberi kebebasan penuh untuk mengakses media sosial.
Beliau berkata, ibu bapa perlu membina satu prinsip bahawa kanak-kanak dan remaja bawah usia 16 tahun masih belum sesuai untuk terdedah secara bebas kepada dunia media sosial serta kandungan yang dihasilkan oleh pelbagai pempengaruh.
“Pada usia ini, murid sebenarnya masih dalam proses mencari identiti diri. Mereka mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihat dan ditonton setiap hari,” ujarnya.
Mohd Haiqal turut melahirkan kebimbangan terhadap trend semasa yang terlalu menyanjung populariti dan kemasyhuran.
“Ramai individu menghasilkan kandungan semata-mata untuk meraih perhatian, tontonan dan pengikut tanpa mengira sama ada kandungan itu membawa manfaat atau sebaliknya.
“Sebab itu cadangan menyekat akaun media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun dilihat sebagai langkah yang dapat membantu melindungi murid daripada pengaruh negatif.
“Secara tidak langsung, ia memastikan teknologi terus digunakan untuk tujuan pendidikan dan pembangunan diri yang lebih sihat,” katanya lagi.
Batas bukan kebebasan tanpa kawalan
Bagi pelajar SMK Subang Utama, Chiah Wen Yuan, media sosial bukan sesuatu yang perlu diharamkan sepenuhnya.
Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah mewujudkan batasan yang jelas supaya penggunaannya tidak memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian.
Katanya lagi, ramai rakan sebaya dilihat terlalu leka melayari platform seperti TikTok dan Instagram sehingga terjebak dalam budaya doom scrolling atau menonton kandungan tanpa henti. “Ia memberi kesan yang mana ada murid mula mengabaikan pelajaran dan hilang fokus terhadap tanggungjawab harian.
“Kadang-kadang mereka terlalu asyik menonton satu video ke satu video yang lain sehingga terlupa apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.
Walaupun isu buli siber sering diperkatakan, pelajar 15 tahun itu berpandangan bahawa sikap saling menghormati dan memahami batas pergaulan mampu membantu mewujudkan suasana digital yang lebih sihat.
Wen Yuan turut bersetuju bahawa penggunaan media sosial akhirnya bergantung kepada kawalan diri setiap individu.
Baginya, setiap platform mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
“Media sosial sebenarnya banyak membantu saya mendapatkan maklumat semasa dan mengikuti perkembangan isu terkini. Ia memudahkan saya mencari fakta untuk digunakan dalam aktiviti perbahasan, perdebatan dan pidato spontan di sekolah,” jelasnya.
Justeru, Wen Yuan berpandangan media sosial boleh menjadi medium yang bermanfaat jika digunakan secara berhemah.
“Bukan itu sahaja, ia membantu pelajar kekal peka terhadap dunia di sekeliling mereka tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang murid,” tegasnya.
Audio siar Bual Bestari bertajuk Media Sosial Pelajar: Kebebasan, Batasan atau Perlu Sekatan? membawakan Mohd Haiqal, Wen Yuan dan pelajar SMK Tengku Idris Shah, Muhammad Rizqi Aiman Rosdi sebagai panel serta dihoskan oleh Jeed Zulkifli.