Kehilangan seorang guru atau pensyarah bukan sekadar pemergian insan yang menabur ilmu, tetapi juga perginya cahaya yang pernah menerangi hati dan minda anak didiknya.
Itulah yang dirasai warga Universiti Islam Selangor (UIS) apabila salah seorang pensyarahnya meninggal dunia pada 3 November 2025 (Isnin) sekali gus meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada seluruh penghuni kampus.
Menurut perkongsian di Facebook rasmi UIS, Allahyarhamah Dr Farhah Zaidar Mohamed Ramli merupakan Pensyarah Jabatan Al-Quran dan As-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam (FPPI), UIS.
"Dari ALLAH kita datang dan kepada ALLAH juga kita kembali.
"Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa dan menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh," maklum Facebook itu
Dalam ruangan komen, ramai warga maya meluahkan rasa sedih dengan kehilangan, menggambarkan betapa besar jasa dan kasih yang ditinggalkan.
Maklum mereka, arwah seorang pensyarah yang baik hati, sentiasa tenang dalam tutur kata, asatizah yang dihormati, menjadi penasihat dan pendengar setia kepada para pelajarnya.
Malah, kata mereka juga, arwah pendidik lemah lembut, berdedikasi dan sentiasa membimbing anak-anak didik dengan penuh kasih sayang.
Sementara itu, pemergian Dr Farhah Zaidar pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar diganti, namun ilmu, nasihat dan akhlak mulianya akan terus hidup dalam diri mereka yang pernah berguru dengannya.
Kami di Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah dan warga UIS atas kehilangan insan berilmu dan berhati mulia ini.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.