Luar biasa! Dr Rasyidah penerima Geran Anugerah Merdeka, bawa harapan baharu dunia anatomi Malaysia

Iklan
Anugerah berprestij yang disampaikan oleh Merdeka Award Trust itu merupakan satu pengiktirafan istimewa buat Dr Rasyidah.

Anak Malaysia sememangnya tidak pernah lelah membuktikan kemampuan mereka di persada dunia.

Dengan semangat dan dedikasi tinggi, ramai antara mereka berjaya mencipta nama dalam bidang masing-masing termasuk dalam dunia akademik dan penyelidikan perubatan.

Iklan
Iklan

Terbaharu, pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rasyidah Rehir mencipta satu lagi kebanggaan buat negara apabila diumum sebagai penerima Geran Anugerah Merdeka Untuk Penempatan Antarabangsa 2025.

Anugerah berprestij yang disampaikan oleh Merdeka Award Trust itu merupakan satu pengiktirafan istimewa kepada individu muda berbakat besar yang berpotensi memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara melalui penempatan jangka pendek di institusi ternama dunia.

Iklan

Menurut Dr Rasyidah, penempatan tersebut akan dimanfaat sepenuhnya bagi memperluas inisiatif latihan perubatan berasaskan pendermaan badan dan pemeliharaan kadaver lanjutan.

Beliau merancang untuk menjalankan program penyelidikan dan latihan di Thiel Cadaveric Facility, Universiti Dundee, United Kingdom iaitu sebuah pusat terkenal yang mengaplikasikan teknik Thiel, kaedah pengawetan tubuh manusia yang mengekalkan struktur anatomi dan fleksibiliti tisu hampir menyerupai tubuh sebenar.

Iklan

"Saya amat berharap pendedahan ini dapat membuka jalan untuk memperkenalkan teknik Thiel di Malaysia.

"Ia bukan sahaja memberi peluang latihan yang lebih realistik kepada pelajar perubatan, tetapi juga dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan anatomi di negara ini," jelasnya.

Dengan pengalaman dan ilmu yang bakal diperoleh, Dr Rasyidah berhasrat untuk menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan anatomi dan latihan perubatan moden di Malaysia sekali gus membuktikan bahawa beliau bukanlah seorang pensyarah ‘biasa-biasa’, tetapi insan luar biasa yang berjuang membawa ilmu untuk manfaat sejagat.

Teknik Thiel

Untuk makluman, teknik Thiel ialah satu kaedah pengawetan tubuh yang diasaskan di Austria dan kemudiannya dikembangkan di United Kingdom.

Kaedah ini diusulkan oleh Dr Rasyidah sebagai penambahbaikan kepada teknik pengawetan yang sedia digunakan di Malaysia.

"Dalam dunia perubatan, penggunaan mayat yang diawet atau kadaver merupakan komponen penting dalam pengajaran anatomi, latihan pembedahan dan penyelidikan.

"Namun, kaedah pengawetan yang sudah lama diamalkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, adalah menggunakan formalin, iaitu bahan kimia terkawal yang sering digunakan sebagai pengawet, antiseptik dan disinfektan," ujarnya.

Menurut beliau, formalin berfungsi dengan baik untuk mengekalkan mayat dalam jangka panjang.

"Ada spesimen yang diawet menggunakan formalin masih berkeadaan baik dan digunakan selepas lebih 20 tahun.

"Walaubagaimanapun, bahan kimia ini turut dikategorikan sebagai karsinogen dan pendedahan berpanjangan boleh membawa kesan serius termasuk risiko kanser.

"Tambahan pula, selepas diawet, warna kadaver akan menjadi pudar dan teksturnya agak stiff atau keras. Jadi, ia kurang sesuai digunakan untuk latihan pembedahan atau penyelidikan," katanya lagi.

Menurutnya, kaedah ini dikenali sebagai soft-fixation kerana ia mampu mengekalkan warna dan keanjalan tisu seperti keadaan sebenar untuk aplikasi pembedahan dan penyelidikan yang lebih realistik.

"Kelebihan teknik Thiel ini, ia tidak membuatkan tekstur mayat menjadi terlalu keras.

"Oleh itu, kadaver boleh digunakan bukan sahaja untuk pengajaran, tetapi juga untuk latihan pembedahan dan penyelidikan," jelasnya.

Dari segi ketahanan pula, kata beliau, Thiel hanya mampu bertahan sekitar dua hingga empat tahun.

"Sebenarnya tempoh tersebut dianggap memadai kerana fokus utamanya ialah latihan pembedahan dan penyelidikan.

"Jadi, apabila sudah digunakan, spesimen tersebut memang tidak boleh disimpan untuk kegunaan semula," jelas pensyarah ini yang berharap agar teknik berkenaan bukan sahaja dimanfaatkan di UKM, tetapi juga dapat diperluas ke institusi lain di seluruh Malaysia.