Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah pertama di Malaysia yang memperkenalkan Kiosk Anti-Buli Digital, hasil inovasi StudentQR di bawah Jaxer Digital Sdn Bhd.
Kiosk berteknologi tinggi ini direka bagi membanteras budaya buli di sekolah dengan membolehkan pelajar membuat laporan insiden melalui imbasan kod QR dan pengecaman wajah (face recognition). Setiap laporan yang dihantar diterima secara masa sebenar (real-time) oleh guru serta pentadbir sekolah untuk tindakan segera, manakala ibu bapa turut menerima notifikasi yang sama memastikan isu buli ditangani secara telus dan menyeluruh.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR, Syed Huzaifah Syed Omar, langkah ini membuktikan bahawa teknologi boleh memainkan peranan penting dalam mewujudkan sekolah yang lebih selamat dan beretika.
“Masalah buli bukan perkara baharu, tetapi pendekatan untuk menanganinya mesti seiring dengan kemajuan masa. Dengan sistem antibuli ini, pelajar kini berani bersuara kerana salurannya lebih mudah dan selamat,” katanya.
Menariknya, sistem ini ditawarkan secara percuma kepada semua sekolah kerajaan di Malaysia melalui geran Cradle Fund di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, bagi membolehkan lebih ramai pelajar dan guru merasai manfaatnya.
Selain fungsi laporan buli, kiosk itu turut dilengkapi modul kehadiran harian pelajar, kehadiran guru serta sahsiah, menjadikannya satu ekosistem lengkap untuk pemantauan disiplin dan keselamatan.
StudentQR juga menyepadukan analisis tingkah laku berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membantu guru mengesan corak perlakuan buli dari peringkat awal. Langkah ini membolehkan tindakan dibuat lebih cepat sama ada diuruskan oleh sekolah atau dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Kami percaya apabila pelajar berasa dilindungi, mereka akan lebih berani bersuara dan fokus kepada pelajaran,” tambah Syed Huzaifah.
StudentQR sebelum ini dikenali menerusi sistem pengurusan kehadiran dan sahsiah pelajar berasaskan QR, yang digunakan oleh lebih 1.2 juta pelajar dalam dan luar negara termasuk Jepun, Indonesia serta Australia.
Pelancaran Kiosk Anti-Buli ini sekali gus menegaskan komitmen StudentQR untuk menjadi peneraju teknologi pendidikan (EdTech) tempatan yang mendukung keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Sekolah yang berminat untuk menerapkan sistem ini boleh melayari www.studentqr.com atau menghubungi pasukan StudentQR untuk sesi demonstrasi dan pendaftaran awal.