Memilih persembahan jenis pantomim untuk mengasah kreativiti para pelakon merupakan cabaran yang diambil oleh pengarahnya, Nawfal Mohd Zamri dibantu oleh Dr Colleen Wing Huey Yi dan Amsalib Pisali dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Persembahan ini dibuat bersempena dengan Majlis Apresiasi SULAM UPSI 2025 dan Peluncuran Inisiatif SULAM@UPSI di Dewan SITC, UPSI di hadapan Pemangku Pengerusi Pengarah Universiti (LPU), Profesor Emerita Datuk Dr Roziah Omar dan Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff sambil disaksikan oleh para peserta Karnival SULAM dari 10 buah IPTA di seluruh Malaysia.
Persembahan berjudul The Big Dreams ini melibatkan tiga kanak-kanak iaitu Muhammad Adham Mohd Firdhaus Hasraf dan Hana Malaika Zuhaili Fikri dari Sekolah Kebangsaan Proton City manakala Hanis Althea Zuhaili Fikri dari Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara.
10 lagi merupakan para pelajar UPSI daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Sains dan Matematik dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi dengan masing-masing membawa watak yang tersendiri. Antaranya adalah pemuzik, saintis, ahli sukan, pelukis, penari, guru, pakar IT, chef dan sejarawan yang merefleksikan bidang 10 fakulti di UPSI serta laluan kerja bagi graduan selepas tamat pengajian kelak.
Persembahan ini turut diserikan dengan iringan muzik daripada cello, biola dan keyboard dengan nyanyian secara langsung.
Persembahan berkenaan membawa mesej bahawa setiap laluan kerjaya yang bakal dipilih oleh anak-anak pasti dimulakan dari langkah pertama dengan bimbingan ibu-bapa, guru-guru dan para pensyarah dalam mengembara ke alam dewasa yang begitu luas potensinya.
Menurut Nawfal, teater jenis pantomim sesuai untuk meminimakan penggunaan dialog namun menguji kreativiti aksi fizikal dan mimik wajah para pelakon.
"Pihak produksi menerima pelakon berusia enam dan sembilan tahun. Oleh itu, kami telah koordinasikan mereka bersama pelakon yang jauh lebih berusia namun dapat mempersembahkan aksi yang kemas dan memberi kesan emosi dalam persembahan," katanya.
Pengarah Karnival SULAM UPSI 2025, Dr Hamidah Idris menambah, integrasi dalam kalangan pelajar universiti ini berselari dengan hasrat SULAM yang berobjektifkan gemblingan kepakaran dan khidmat bakti di antara universiti dengan komuniti.
"Sememangnya hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan pembangunan modal insan yang bermula di peringkat universiti dapat diserahkan kembali kepada komuniti dalam pelbagai program bersifat serampang dua mata," ujarnya.
Seterusnya, ketua pelakon, Adib Nur Naufal Tajuddin yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Muzik dan Seni Persembahan, UPSI berkata, penglibatan para pelajar dalam aktiviti di universiti telah banyak membantu meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan menanam sifat saling bekerjasama yang berguna di alam pekerjaan kelak.
Sementara itu, malam tersebut turut diserikan dengan persembahan nyanyian istimewa daripada pelontar suara bagi lagu dan watak Nakhoda Ragam dalam filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, Fakhrul Razi Ibrahim yang dibawa khas dari Brunei Darussalam.
Karnival SULAM 2025 disertai oleh 66 buah projek dengan penglibatan seramai 270 peserta dan 700 pengunjung.
Maklumat penulis:
Tenaga pengajar di Kelas Membaca Kanak-Kanak Sufi Kreatif, Proton City, Perak merangkap penulis buku, Mohd Firdhaus Hasraf Hassan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my