Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan konon berlaku kebocoran soalan bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KPM menjelaskan hasil siasatan mendapati maklumat yang disebarkan hanyalah senarai tema umum yang sememangnya terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bukannya soalan sebenar.
"Senarai tema yang ditularkan itu hanyalah ramalan oleh guru dan calon peperiksaan, dan tidak memenuhi definisi kebocoran seperti yang ditetapkan dalam prosedur pengurusan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” jelas kenyataan itu.
KPM turut menegaskan bahawa semua kertas peperiksaan awam diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, dan disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kerahsiaan dan integriti peperiksaan sentiasa terjamin.
Sehubungan itu, kementerian menyeru semua calon SPM 2025 agar kekal tenang dan fokus terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung tanpa terpengaruh dengan sebarang khabar angin di media sosial.
"KPM sentiasa berusaha memastikan kerahsiaan peperiksaan awam terpelihara serta keadilan kepada semua calon dijamin,” tambah kenyataan berkenaan.