Suasana dalam Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini, bertukar pilu apabila dua nama graduan, Nurly Shahirah Azman dan Fatin Nasrien Fadli, diumum sebagai penerima ijazah anumerta dalam Istiadat Konvokesyen ke-27 universiti itu.
Namun yang melangkah ke pentas bukan dua figura muda bersemangat itu, sebaliknya ibu bapa mereka hadir menerima ijazah bagi pihak anak tersayang, dua daripada 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam tragedi nahas bas persiaran di Gerik pada 9 Jun lalu.
Tatkala nama kedua-dua Allahyarham diumum, air mata hadirin menitis termasuk milik Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, yang kelihatan sebak ketika mengurniakan skrol kepada Azman Mohamad, 63, bapa kepada Allahyarham Nurly Shahirah, dan Fadli Abd Rahman, 50, bapa kepada Allahyarham Fatin Nasrien.
“Bangga dan pada masa sama sebak apabila diumumkan nama anak saya untuk naik ke pentas. Perasaan sayu, sedih dan gembira bercampur baur. Sebagai ayah, berharap anak yang naik ke pentas, tapi inilah aturan ALLAH SWT, kami reda,” luah Azman dengan suara yang bergetar menahan tangis.
Bagi Fadli pula, penerimaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) bagi pihak anak sulungnya menjadi simbol penghargaan tertinggi terhadap usaha dan ketekunan arwah yang menjadi harapan keluarga.
“Bila dapat tahu UPSI mahu beri ijazah anumerta, kami gembira tapi dalam masa sama sebak mengenang arwah. Fatin Nasrien anak sulung dan sudah tentu harapan besar keluarga kami,” katanya penuh rasa syukur.
Majlis yang dihadiri ribuan tetamu itu menjadi saat penuh simbolik, bukan sekadar penyampaian skrol tetapi satu pesanan besar tentang erti perjuangan, kasih keluarga dan semangat menuntut ilmu hingga ke hujung nyawa.
Buat pelajar
Kisah dua graduan ini menjadi sumber kekuatan buat pelajar lain, mengingatkan bahawa setiap usaha dan pengorbanan dalam menuntut ilmu tidak akan sia-sia.
Walau tidak sempat merasai detik menerima skrol di tangan sendiri, nama Nurly Shahirah (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas) dan Fatin Nasrien (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik) kini terukir dalam sejarah UPSI sebagai lambang ketabahan dan cinta terhadap ilmu.
Konvokesyen UPSI kali ini meraikan seramai 7,173 graduan terdiri daripada pelbagai peringkat dari diploma hingga doktor falsafah berlangsung dari 11 hingga 18 November 2025, di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, Perak.