“Bayangkan hidup tanpa air liur…” Itulah realiti yang dihadapi oleh Fatini Alya Baharudin, 24, graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang pernah kehilangan bukan sekadar kelenjar air liur tetapi juga keselesaan untuk makan, bercakap dan menelan kerana semuanya akibat kanser kelenjar air liur yang menyerangnya sejak tahun 2021.
Namun siapa sangka, di sebalik kesakitan yang menjerut tubuh, Fatini yang lebih mesra dipanggil Tini pada hari ini berdiri megah di Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM, menggenggam Ijazah Sarjana Muda dengan CGPA 3.59, sambil senyum yang sarat dengan ribuan kisah perjuangan.
Ketika orang lain sedang berjuang melindungi diri daripada virus Covid-19, Tini pula berjuang melawan sel kanser yang menumpang tanpa izin di tubuhnya.
Dia menjalani enam pusingan kemoterapi dan 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang yang merupakan satu perjalanan panjang melelahkan jiwa dan raga.
“Saya sangat gembira sebab berjaya sampai ke tahap ini…walaupun banyak dugaan, terutama di awal semester,” katanya menahan sebak ketika ditemui di konvokesyen.
Walaupun tubuh sering lemah dan tekak kering akibat rawatan, Tini tetap membawa buku ke mana-mana, menelaah nota walau di tengah kesakitan. Baginya, ilmu bukan hanya tentang peperiksaan tetapi tentang harapan.
Bapa Tini, Baharudin, seorang tukang gunting rambut dan ibunya seorang suri rumah merupakan dua insan sederhana yang menyimpan kekayaan paling mahal iaitu kasih dan doa.
“Kami hanya mampu berdoa waktu dia sakit. Balik rawatan, dia masih buka buku. Kadang-kadang kami pula yang menangis tengok semangat dia,” kata ibunya dalam linangan air mata.
“Saya cuma tukang gunting rambut biasa…tetapi hari ini rasa macam ayah paling bertuah di dunia. Tengok dia naik pentas, semua penat dulu hilang,” tambah bapanya sebak.
Kini, Tini hidup tanpa ‘kilang air liur’, tetapi dengan semangat yang luar biasa. Setiap gigitan makanan mungkin perit, setiap tegukan air terasa payah, namun setiap langkah hidupnya disertai syukur.
“Jangan putus asa. Sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang. Percaya pada doa, pada kasih keluarga dan pada diri sendiri,” pesannya, menjadi inspirasi kepada ribuan pelajar lain.
Ketika Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan menyebut namanya dalam ucapan konvokesyen dan mengajak seluruh dewan memberi tepukan gemuruh, dewan itu bukan sekadar bergema dengan sorakan tetapi dengan doa dan kasih yang mengalir kepada seorang pejuang yang tidak pernah rebah.
Kisahnya menjadi simbol bahawa pendidikan bukan sekadar sijil tetapi perjalanan melawan segala yang mustahil. Kerana di hujung setiap ujian, Tuhan tidak mengambil sesuatu tanpa menggantikannya dengan kekuatan baharu.
Sinar Bestari mengucapkan tahniah kepada Fatini Alya Baharudin, graduan yang mengajar kita erti sebenar sebuah perjuangan!