Dua srikandi UPSI buktikan disiplin kunci kejayaan

Iklan

Dua nama menjadi tumpuan pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila Nazatul Najwa Rossimy dan Permawathy Murugan diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu pengiktirafan tertinggi buat graduan cemerlang universiti bersejarah itu.

Bagi Nazatul Najwa, 23, kejayaan meraih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM) bukan hadir dengan mudah.

Iklan
Iklan

"Segalanya berpaksikan disiplin, pengurusan masa dan keutamaan terhadap akademik.

“Berorganisasi tidak salah, cumanya akademik kena jaga,” katanya yang juga anak kelahiran Pendang, Kedah itu.

Iklan

Tuanku Zara Salim menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Nazatul Najwa

Baginya, penglibatan dalam aktiviti pelajar mengajar tentang tanggungjawab dan disiplin, sementara sokongan ibu bapa serta rakan-rakan menjadi pendorong utama menghadapi tekanan sepanjang pengajian.

Iklan

Sementara itu, Permawathy Murugan, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) dengan Kepujian daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), turut menekankan kepentingan rutin belajar yang konsisten.

“Selepas habis kelas, saya akan buat ulang kaji selama dua jam. Tugasan atau ujian saya siapkan awal kerana saya tidak suka buat saat akhir,” katanya.

Tambahnya lagi, kaedah itu membantu memahami pelajaran dengan lebih baik serta memberi ruang untuk aktif menyertai program universiti dan memimpin dalam tugasan berkumpulan.

Tuanku Zara Salim menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Permawathy

Kedua-dua penerima anugerah berprestij ini sepakat bahawa kejayaan bukan hanya hasil kecerdikan, tetapi juga kesungguhan, disiplin dan sokongan insan sekeliling.

Mereka turut menzahirkan penghargaan kepada pihak universiti, fakulti dan pensyarah yang sentiasa membimbing dan keluarga serta rakan-rakan yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

Nazatul dan Permawathy kini melangkah ke fasa baharu kehidupan dengan membawa semangat UPSI dan tekad untuk terus menyumbang dalam dunia pendidikan serta pembangunan insan.