Kisah pasangan suami isteri ini menjadi tumpuan di Majlis Konvokesyen ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) secara serentak dalam bidang Dasar dan Pentadbiran Awam.
Pasangan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Rozaimy Ridzuan dan Dr Noor Amira Syazwani Abd Rahman, bukan asing dalam perjalanan akademik bersama dari diploma, sarjana dan kini PhD.
Mereka terus melakar sejarah sebagai lambang cinta, disiplin dan teamwork yang luar biasa.
Mengurus kerjaya sebagai pensyarah sambil membesarkan dua anak, Nur Aleesya Raaniya dan Muhammad Aish Rakin bukan kerja mudah.
Menurut Dr Mohd Rozaimy, strategi kecil seperti menetapkan mini-goals mingguan dan jadual yang teratur jadi kunci untuk kekal fokus hingga ke hari konvo.
"Sehari tetap 24 jam. Kalau bijak urus masa, tetap ada ruang untuk baca, tulis dan siapkan penyelidikan. Setiap pengorbanan itu hadiah untuk masa depan," katanya.
Bagi Dr Noor Amira Syazwani pula, perjalanan PhD lebih bermakna bila dibuat dengan hati yang gembira.
"Kadang-kadang kita kena berhenti sekejap untuk tarik nafas. Bila sambung balik dengan jiwa yang tenang, semua jadi lebih mudah. Ilmu itu kena hadir dengan kegembiraan,” ujarnya.
Pasangan itu turut berterima kasih kepada keluarga yang banyak membantu menjaga anak dan sentiasa mendoakan kejayaan mereka.
Sepanjang pengajian, pasangan ini bukan saja berjaya menamatkan PhD, malah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Dekan, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan dan dua pingat emas inovasi berasaskan kajian masing-masing.
Mereka juga menzahirkan penghargaan kepada penyelia utama, Profesor Madya Dr Jamal Rizal Razali serta penyelia bersama, Dr Ju Soon Yew yang sentiasa menjadi tulang belakang akademik mereka.
Kisah pasangan ini bukan sekadar tentang kejayaan akademik, tetapi bukti bahawa dengan cinta, disiplin dan semangat yang padu menjadikan perjalanan PhD yang sering dianggap mustahil sebenarnya boleh ditempuhi, bersama-sama, sampai ke garisan penamat.