UiTM ukir sejarah di Business Excellence Awards 2025

Iklan
Dari kiri: Shahrin bersama Pengerusi Sunway Group Tan Sri Datuk Seri Sir Dr Jeffrey Cheah; Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo dan Joanne Goh, ACCA menyerahkan penghargaan kepada UiTM semasa Majlis UK–Malaysia Partnership of the Year sempena 6th BMCC Business Excellence Awards 2025 di Sunway Resort Hotel, baru-baru ini.

Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Naib Johan (First Runner-Up) bagi kategori UK–Malaysia Partnership of the Year di 6th British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Business Excellence Awards 2025, pada Khamis.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada kerjasama dua hala antara organisasi dari United Kingdom dan Malaysia yang berjaya mewujudkan nilai strategik, inovasi pendidikan, pembangunan modal insan serta impak kolaborasi jangka panjang.

Iklan
Iklan

Menurut UiTM, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama strategik selama 58 tahun dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) yang disifatkan sebagai antara hubungan akademik antarabangsa paling kukuh dan mampan.

Sejak bermula pada tahun 1967, kerjasama ACCA–UiTM telah melahirkan lebih 12,000 affiliates dan ahli ACCA, menjadikan UiTM antara penyumbang terbesar kepada profesion perakaunan di peringkat global.

Iklan

“Graduan UiTM kini berkhidmat di firma Big Four, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor awam, industri kewangan serta institusi dasar negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pengiktirafan berprestij itu membuktikan komitmen warga Fakulti Perakaunan dalam memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama antarabangsa.

Iklan

“Pencapaian ini sekali gus mengangkat nama UiTM di persada dunia,” katanya.

UiTM turut menzahirkan penghargaan kepada ACCA atas hubungan kerjasama hampir enam dekad yang banyak menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan pembangunan bakat negara.