'Saya hampir putus asa' - Majed harungi kehilangan bapa dan perang Gaza demi tamatkan PhD

Iklan
Majed bersama penyelianya, Dr Rani Ann.

Walaupun diuji dengan konflik berterusan antara Israel dan Palestin yang menghalangnya daripada pulang ke tanah air serta menuntut beliau untuk menetap sepenuhnya di Malaysia, Majed F.S. Habib, pelajar PhD di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), tetap teguh dan tidak pernah berputus asa menghadapi dugaan tersebut.

Berkat kesabaran, kecekalan dan ketekunan yang tinggi, Majed berjaya menamatkan sesi viva voce pada 19 November 2025, sekali gus menandakan beliau kini semakin menghampiri penamat perjalanan akademiknya di Malaysia.

Iklan
Iklan

Kajian PhD yang dijalankan Majed meneliti kandungan laporan akhbar dalam talian mengenai perang Gaza 2023 serta persepsi pengguna terhadap pemaparan berita dalam laman web tersebut.

Penyelidikan ini menyumbang kepada perkembangan ilmu dalam bidang kewartawanan, khususnya berkaitan kewartawanan perang dan konflik, satu bidang yang jarang diterokai, melainkan oleh penyelidik yang memiliki pengalaman langsung dengan isu berkenaan.

Iklan

Majed yang ditemui selepas sesi viva menyatakan bahawa antara cabaran paling berat yang hampir mematahkan semangatnya ialah ketika bapanya meninggal dunia dalam salah satu siri pengeboman oleh tentera Israel.

Menurut Majed, beliau pada ketika itu hampir berputus asa dan bertekad untuk pulang ke Palestin.

Iklan

Majed (tengah) tampil dalam salah satu episod Podcast Penyelidikan ComMinds Pusat Pengajian Komunikasi.

Namun begitu, berkat sokongan berterusan daripada keluarganya di Gaza serta warga Pusat Pengajian Komunikasi, beliau memilih untuk kekal dan meneruskan perjuangannya dalam bidang pendidikan.

Beliau yang tampil dalam salah satu episod Podcast Penyelidikan ComMinds Pusat Pengajian Komunikasi turut menyuarakan penghargaan mendalam terhadap penyelianya, Dr Rani Ann Balaraman, yang sentiasa memberikan dorongan, nasihat dan kata-kata semangat sepanjang perjalanan pengajiannya.

"Sepanjang proses menyiapkan kajian saya, tekanan emosi yang saya hadapi sangat hebat, terutama setiap kali mendengar berita tentang negara yang dibedil oleh tentera Israel. Fikiran sering melayang kepada nasib keluarga di tanah air.

"Pada saat-saat begitu, Dr Rani akan memanggil saya untuk berkongsi cerita dan perasaan saya. Sokongan beliau amat membantu diri bangkit semula dan meneruskan pengajian PhD," ujarnya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr Bahiyah Omar, memuji kesungguhan dan semangat Majed sebagai satu bentuk iltizam yang wajar dicontohi oleh pelajar lain, memandangkan pengajian PhD bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan emosi.

"Pusat Pengajian Komunikasi USM sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam menyokong pelajar seperti Majed agar mereka mampu menamatkan pengajian dengan jayanya dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara serta komuniti masing-masing," tambah Dr Bahiyah.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Penyelidikan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh turut menambah bahawa penyeliaan berkualiti sentiasa menjadi keutamaan pusat pengajian dalam memastikan setiap graduan PhD mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

"Dalam proses ini, setiap penyelia dan pihak pusat pengajian sentiasa bersedia untuk mendengar, memberikan bimbingan dan menawarkan sokongan mengikut keperluan pelajar bagi memastikan mereka mampu menempuh cabaran akademik dengan baik," katanya.