10 pelajar PPPJJ USM sertai Program Mobiliti Berfokuskan SDG di RUTS

Iklan
Sebahagian peserta yang mengikuti Program Mobiliti Berteraskan SDG di Rajamangala University of Technology Srivijaya baru-baru ini.

Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian global melalui penganjuran Program Mobiliti Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Songkhla pada 18 November lalu.

Disertai pelajar daripada pelbagai bidang yang sedang berkhidmat di agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara, program ini menjadi medium penting untuk memperluas perspektif mereka dalam pelaksanaan pendidikan mampan di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

Delegasi PPPJJ diketuai Dekan, Profesor Madya Dr Zulnaidi Yaacob bersama Dr Sah-Hadiyatan Ismail dan Mohd Rashid Abdul Rejab sebagai pengiring, sekali gus memastikan pengisian akademik dan profesionalisme pelajar diberi perhatian sepenuhnya.

Program ini dilaksanakan melalui inisiatif Geran Mobiliti oleh Pejabat Antarabangsa USM, yang menekankan kepentingan memupuk kesedaran kelestarian serta memantapkan pemahaman terhadap SDG dalam kalangan pelajar dewasa.

Iklan

Sepanjang lawatan, peserta mengikuti siri taklimat, wacana kepakaran dan tinjauan lapangan yang memberi pendedahan langsung kepada pelaksanaan strategi SDG di RUTS merangkumi inovasi teknologi hijau, pembangunan komuniti mampan dan amalan kelestarian kampus.

Iklan

Salah seorang peserta, Muhammad Razin Rosidian menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang membuka minda.

"Program ini membuka perspektif baharu kepada saya tentang bagaimana universiti luar negara melaksanakan inisiatif SDG secara menyeluruh.

"Ia memberi inspirasi untuk kami membawa amalan kelestarian ke USM, tempat kerja dan komuniti," katanya.

Program mobiliti ini sekali lagi menegaskan usaha PPPJJ USM dalam melahirkan graduan yang berfikiran global, profesional serta komited terhadap agenda kelestarian, selaras dengan aspirasi universiti dan SDG.