Banjir merupakan sebuah bencana alam yang sinonim bagi negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu.
Walaupun banjir sering dikaitkan dengan Monsun Timur Laut, kejadian beberapa tahun kebelakangan ini termasuk pada tahun 2024 hingga 2025 menunjukkan peningkatan dari segi intensiti, frekuensi dan tahap kerosakan.
Fenomena ini menimbulkan persoalan sama ada banjir yang berlaku semata-mata disebabkan faktor alam atau sebenarnya berpunca daripada kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan.
Dalam konteks ekonomi pembangunan, banjir bukan sahaja membawa kerosakan fizikal tetapi juga memberi implikasi besar terhadap keupayaan sesebuah negeri untuk berkembang maju.
Oleh itu, kajian ini membincangkan punca banjir semasa kesannya terhadap sosioekonomi serta hubungannya dengan isu pembangunan yang kurang lestari.
Pada awal tahun 2025, hujan lebat yang berterusan akibat Monsun Timur Laut telah menyebabkan paras air sungai meningkat dengan mendadak.
Daerah seperti Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, Kuala Krai, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu merupakan antara kawasan paling terjejas.
Beberapa sungai utama termasuk Sungai Kelantan dan Sungai Terengganu telah melepasi paras bahaya mengakibatkan limpahan besar ke kawasan penempatan dan pertanian.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dengan ribuan mangsa dipindahkan termasuk warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik. Infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, sekolah, klinik dan talian elektrik turut rosak dan terganggu.
Walaupun banjir merupakan fenomena tahunan, peningkatan tahap kerosakan pada tahun ini mencetuskan persoalan tentang keberkesanan sistem pengurusan bencana dan strategi pembangunan negeri.
Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim global memainkan peranan penting dalam peningkatan fenomena banjir.
Suhu dunia yang meningkat membawa kepada pola hujan yang tidak menentu serta hujan ekstrem dalam tempoh singkat. Monsun Timur Laut yang semakin kuat menyebabkan kawasan Pantai Timur menerima jumlah hujan berlebihan yang sukar ditampung sistem saliran sedia ada.
Namun, perubahan iklim sahaja tidak menjelaskan keseluruhan masalah. Sebahagian besar kawasan penempatan di Kelantan dan Terengganu terletak di dataran banjir.
Walaupun peta risiko banjir telah lama wujud, pembangunan masih terus dilakukan di kawasan rendah tanpa mengambil kira kesan jangka panjang.
Pembinaan perumahan, kompleks komersial dan projek baharu di kawasan berisiko tinggi menunjukkan kelemahan dalam penguatkuasaan peraturan pembangunan.
Selain itu, aktiviti pembalakan di kawasan hulu sungai khususnya di Kelantan telah mempercepatkan aliran air permukaan dan mengurangkan kemampuan tanah menyerap air.
Pokok yang ditebang meninggalkan tanah terdedah, menyebabkan hakisan dan pemendapan lumpur yang kemudiannya menyempitkan sungai. Apabila hujan lebat berlaku, sungai tidak mampu menampung jumlah air yang besar lalu menyebabkan banjir besar.
Banyak sistem perparitan di Kelantan dan Terengganu dibina puluhan tahun lalu dan tidak direka untuk menghadapi intensiti hujan masa kini.
Projek tebatan banjir seperti pembinaan benteng, kolam takungan dan pam air moden pula mengambil masa lama untuk dilaksanakan kerana kekangan kos, birokrasi dan kelemahan koordinasi antara agensi.
Setiap kali banjir berlaku, ribuan rumah mengalami kerosakan, harta benda musnah dan rakyat terpaksa memulakan hidup dari awal. Ini memberi tekanan kewangan yang besar terutama kepada keluarga berpendapatan rendah.
Peniaga kecil adalah golongan paling terjejas kerana mereka kehilangan stok, dokumen penting, peralatan perniagaan dan tempat operasi.
Tanpa simpanan yang mencukupi, ramai tidak mampu meneruskan perniagaan selepas banjir sehingga menyebabkan peningkatan kadar kemiskinan.
Banjir menyebabkan kerosakan tanaman seperti padi, sayur-sayuran, getah dan kelapa sawit. Tanah pertanian mengambil masa lama untuk pulih, mengurangkan hasil dan pendapatan petani. Ini sekali lagi menjejaskan produktiviti daerah luar bandar.
Setiap tahun, kerajaan negeri dan kerajaan pusat terpaksa memperuntukkan ratusan juta ringgit untuk membaiki infrastruktur, membayar bantuan bencana dan membersihkan kawasan terjejas.
Dalam ekonomi pembangunan, kos ini dinamakan kos peluang iaitu perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan jangka panjang terpaksa ditukar kepada kos pemulihan bencana.
Kawasan yang sering dilanda banjir kurang menarik bagi pelabur. Risiko kerosakan aset, gangguan operasi dan kos perlindungan tambahan menyebabkan syarikat tidak berminat melabur.
Ini menghalang negeri-negeri ini berkembang secara progresif berbanding negeri lain.
Kerajaan perlu menguatkuasakan pembangunan hanya di kawasan selamat berdasarkan peta risiko banjir terkini. Zon penampan sungai perlu diwujudkan dan dipatuhi.
Kawasan hutan simpan perlu dipelihara manakala aktiviti pembalakan perlu dikawal secara ketat. Pemulihan kawasan hutan perlu dibuat secara menyeluruh.
Pembinaan kolam takungan besar, stesen pam moden, benteng konkrit, sistem perparitan pintar dan menaik taraf sungai perlu dilakukan secara berperingkat dengan pelaksanaan yang cekap.
Penggunaan radar hujan, sensor paras air, sistem ramalan banjir dan amaran awal berbasis data masa nyata boleh menyelamatkan banyak nyawa dan harta benda.
Masyarakat perlu dididik tentang pengurusan risiko banjir, kit kecemasan dan pelan pemindahan. Kesedaran komuniti mampu mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan.
Secara keseluruhannya, banjir Pantai Timur 2025 telah membuktikan bahawa isu banjir di Malaysia bukan sekadar krisis alam tetapi juga mencerminkan kelemahan dalam model pembangunan negara.
Perubahan iklim mempercepatkan risiko tetapi kesannya menjadi lebih buruk akibat pembangunan tidak terancang, kerosakan kawasan tadahan air dan infrastruktur lama yang tidak lagi memadai.
Untuk memastikan pembangunan ekonomi yang mampan, Malaysia memerlukan pendekatan baharu yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan konservasi alam sekitar.
Jika langkah strategik tidak diambil, kitaran banjir dan kerosakan ekonomi akan terus berulang setiap tahun dan menjadikan masa depan rakyat Pantai Timur semakin terancam.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Adreena Nadhirah Mohd Zaifullah,
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli.